MAHKAMAH di Manila hari ini menjatuhkan hukuman penjara minimum lapan tahun terhadap lapan pengawal pantai Filipina selepas mendapati mereka bersalah menembak mati seorang nelayan Taiwan pada 2013.
Insiden tersebut mencetus ketegangan antara Filipina dan Taiwan. Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh memfailkan rayuan.
Lapan anak kapal warga Filipina itu berkata tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri apabila kapal nelayan itu berlayar ke arah mereka di kawasan perairan di utara pulau Luzon.
Bekas presiden Taiwan Ma Ying-jeou pada 2013 menyifatkan insiden sebagai “pembunuhan kejam”.
Susulan kejadian, Taiwan mengarahkan pengambilan pekerja Filipina dibekukan dan memberi amaran terhadap rakyatnya yang mahu melancong ke negara itu.
Taiwan juga menjalankan latihan tentera di perairannya yang bersempadanan dengan Manila.
Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino berulang kali memohon maaf dan menghantar utusan ke Taiwan, tetapi ditolak atas alasan ia tidak ikhlas.
Satu perjanjian kemudian dibuat bagi mengelakkan kejadian serupa.
Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Armand Balilo berkata mereka menghormati keputusan mahkamah.
“Tetapi apa yang saya tahu, mereka (tertuduh) hanya menjalankan tugas,” katanya. – AFP, 18 September, 2019.
Komen