SEBANYAK 50 sekolah di Kuala Lumpur diarah tutup hari ini selepas indeks pencemaran udara (IPU) melepasi paras 200 iaitu tidak sihat ketika kualiti udara di Lembah Klang bertambah buruk hari ini.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata sekolah yang terjejas berkedudukan dalam radius 5km dari Petaling Jaya.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Pendidikan KL memutuskan untuk menutup 50 sekolah yang terletak dalam radius 5km dari Petaling Jaya kerana kualiti udara di Lembah Klang semakin teruk.”
“Jabatan akan memaklumkan kepada orang ramai tentang perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.
Lebih kurang 43,000 pelajar dari 50 sekolah ini terjejas.
Awal pagi ini, Selangor mengarahkan penutupan 538 sekolah kerana pencemaran jerebu yang mencapai tahap tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Selangor berkata 10 daerah mencatat paras 200 IPU.
“Tahap udara di Selangor, terutamanya di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Kuala Selangor semuanya mencapai tahap tidak sihat dari tengah malam hingga 6 pagi ini.
“Berdasarkan arahan daripada kementerian untuk menutup sekolah jika IPU melebihi 200, jabatan mengarahkan 538 sekolah di negeri ini ditutup sehingga kualiti udara bertambah baik,” kata jabatan itu di halaman Facebook rasminya.
Sehingga pukul 10 pagi, kualiti udara di Lembah Klang tidak bertambah baik.
Putrajaya, Kuala Selangor, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, dan Johan Setia masih dalam kategori sangat tidak sihat antara 203 dan 261.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); 300 dan ke atas (berbahaya). – 18 September, 2019.
Komen