LAPORAN penuh kes kematian Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang hanya akan dibentangkan ke Kabinet pada Rabu minggu depan, kata Kementerian Kesihatan.
Laporan yang dijangka akan dapat menjelaskan punca sebenar kematian 15 orang anggota suku Bateq itu tidak jadi dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Untuk makluman, laporan penuh kes kematian Orang Asli Kuala Koh hanya dapat dibentangkan di Mesyuarat Kabinet pada 25 September 2019,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas.
Seorang pembantu menteri kesihatan memberitahu The Malaysian Insight, kementerian tidak sempat menghantar laporan tersebut pada minggu lalu di Kabinet.
Jelasnya, menteri, ketua pengarah dan ketua setiausaha kementerian tiada berada di luar negara pada minggu lalu untuk lawatan kerja.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada Selasa minggu lalu berkata laporan penuh tersebut akan dibentangkan ke Kabinet pada hari ini.
Kematian mengenai Orang Asli Kuala Koh itu mula dilaporkan pada 3 Jun lalu yang dikaitkan dengan penyakit misteri.
Pada 17 Jun, kementerian itu mendedahkan ujian makmal ke atas tiga mayat mendapati Orang Asli itu meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak.
Dzulkefly berkata, sehingga 15 Jun, 37 daripada 112 kes yang dilaporkan membabitkan suku Bateq di perkampungan itu dikenalpasti sebagai demam campak. – 18 September, 2019.
Komen