Data penumpang Lion Air, anak syarikat bocor


Maklumat peribadi yang terdedah itu termasuk maklumat pasport, alamat rumah dan nombor telefon penumpang. – Gambar AFP, 18 September, 2019.

MAKLUMAT peribadi berjuta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia,Lion Air dan anak syarikatnya termasuk Malindo Air bocor akibat pelanggaran data, lapor South China Morning Post.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air Chandran Rama Muthy kepada SCMP.

Maklumat peribadi yang terdedah itu termasuk maklumat pasport, alamat rumah dan nombor telefon penumpang.

Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi di akaun Twitter Malindo Air dan Lion Air mengenai berita kebocoran data itu.

Chandra berkata Malindo telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara tersebut selepas menyedarinya minggu lepas.

“Pihak kami dan vendor pihak ketiga ketika ini sedang membuat pemeriksaan dan akan mengeluarkan kenyataan secepat yang mungkin.

“Kami akan memaklumkan penumpang selepas hasil siasatan diperolehi,” beliau dipetik berkata.

Laman  web Bleeping Computer semalam melaporkan pelanggaran data berlaku di Lion Air dan berkata maklumat peribadi penumpang syarikat penerbangan itu tersebar menerusi forum pertukaran data sejak sebulan yang lalu. – 18 September, 2019.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen