PERBICARAAN kes 1MDB melibatkan Najib Razak akan berjalan sehingga lepas pukul 5 petang hari ini selepas hakim memberi kebenaran kepada bekas perdana menteri itu berjumpa pakar mata.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan berhenti rehat awal iaitu bermula 11.30 pagi sehingga 2 petang bagi membolehkan Najib berjumpa pakar mata ekoran matanya berair dipercayai disebabkan jerebu.
Sequerah juga berkata perbicaraan hari ini akan melewati sehingga selepas pukul 5 petang.
Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah pagi tadi memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu perlu berjumpa doktor.
“Saya syak ia disebabkan keadaan jerebu. Beliau perlu dapatkan rawatan supaya tidak jadi lebih teruk,” kata Shafee.
Dua perbicaraan Najib sebelum ini ditangguhkan atas sebab sakit mata atau konjungtivitis.
Prosiding hari ini bersambung dengan Shafee meneruskan sesi soal balas bersama bekas pegawai khas Najib Amhari Efendi Nazaruddin.
Najib dihadapkan dengan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang. – 18 September, 2019.
Komen