PEMIMPIN gerakan pro demokrasi Hong Kong merayu secara terus kepada wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) untuk memberi tekanan kepada Beijing, memberi amaran penarikan status istimewa negara itu akan menjejaskan pemimpin China di seluruh dunia.
Dalam desakan yang dipercayai akan mencetuskan kemarahan Beijing, golongan muda yang menggerakkan protes besar-besaran di Hong Kong memberi keterangan di hadapan suruhanjaya kongres dalam mendapatkan sokongan AS untuk mempertahankan hak asasi manusia rakyat Hong Kong.
“Ini bukan rayuan untuk ‘campur tangan luar’ atau kemerdekaan Hong Kong,” kata bintang pop Denise Ho, di mana lagunya diharamkan di China kerana pembabitannya dalam aktivisme.
“Ini rayuan untuk hak asasi manusia universal. Ini rayuan untuk demokrasi. Ini rayuan untuk kebebasan memilih,” katanya.
Ho berkata kekerasan China di Hong Kong menunjukkan ujian kepada mereka yang percaya bahawa dunia ini “bebas, terbuka dan sivil”.
Jutaan penduduk mengadakan protes di jalanan di Hong Kong, pada awalnya dibuat untuk menggesa rang undang-undang membenarkan ekstradisi ke tanah besar China digugurkan.
Gerakan itu kemudian berkembang kepada desakan pro demokrasi di hab kewangan semi autonomi itu di mana aktivis berkata kebebasan semakin terhakis. – AFP, 18 September, 2019.
Komen