Pompeo ke Riyadh bincang isu Iran


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo ke Arab Saudi semalam bagi membincangkan tentang isu serangan kemudahan minyak Riyadh dilakukan oleh Iran. – Gambar AFP, 18 September, 2019.

SETIAUAHSA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo ke Arab Saudi semalam bagi membincangkan tentangan mungkin selepas negara itu berkata, ia mempunyai bukti serangan kemudahan minyak Riyadh berasal dari Iran.

Naib Presiden AS Mike Pence mengumumkan Pompeo dalam perjalanan ke Arab Saudi bagi membincangkan “respons AS”.

“Seperti mana dikatakan Presiden (Donald Trump), kami tidak mahu berperang dengan sesiapa, namun AS bersiap sedia.

“Kami sudah bersedia untuk mempertahankan kepentingan dan sekutu kami di rantau itu,” kata Pence dalam ucapan kepada kumpulan pemikir Heritage Foundation.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata pentadbiran Trump merumuskan serangan hujung minggu lalu membabitkan peluru berpandu pelayaran dari Iran dan bukti akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Pendirian tegas AS itu berikutan penolakan pemimpin agung Iran untuk berunding dengan Washington di semua peringkat.

Ini menunjukkan harapan semakin tipis untuk pertemuan dramatik antara Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Hassan Rouhani di PBB minggu depan.

“Saya tidak pernah memutuskan apa-apa, namun saya lebih suka jika tidak bertemu beliau (Rouhani),” kata Trump kepada media dalam Air Force One di ruang udara California.

Pemberontak Houthi Yaman mengaku bertanggungjawab atas serangan kemudahan minyak Arab Saudi Sabtu lalu, yang menjejaskan separuh pengeluaran minyak mentahnya.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata matlamat sebenar AS ialah mahu negaranya tunduk kepada kemahuan kuasa besar dunia itu.

“Tekanan dasar maksimum terhadap Iran tidak berkesan dan pihak berkuasa Republik Iran secara sebulat suara percaya, tiada rundingan dengan AS di semua peringkat,” katanya dalam ucapan televisyen.

Khamenei berkata selagi sekatan dilaksanakan, rundingan langsung adalah mustahil termasuk pertemuan di PBB. – AFP, 18 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen