Penduduk Dayak hilang tanah NCR kepada syarikat ladang selepas 20 tahun berjuang


Desmond Davidson

See Chee How (kanan), penasihat undang-undang kepada pemilik tanah adat Kampung Lebor, menjelaskan kepada peguam hak tanah Nicholas Bawin (bertali leher) di Mahkamah Persekutuan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2017.

KAUM Dayak di Sarawak berdepan satu lagi kerumitan di mahkamah bagi mempertahankan tanah yang diterokai Hak Adat Bumiputera (NCR) .

Mahkamah Persekutuan di Kuching hari ini mengesahkan rayuan agensi pembangunan tanah berkaitan kerajaan negeri – Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA)); dua syarikat perladangan kelapa sawit – TH Pelita Sadong Sdn Bhd dan TH Pelita Gedong Sdn Bhd; kerajaan Sarawak dan RHB Islamic Bank Bhd, terhadap keputusan mahkamah tinggi pada 2014, yang mengarahkan tanah NCR milik penduduk Kampung Lebor di Gedong dikeluarkan daripada pajakan sementara yang diberikan kerajaan negeri kepada syarikat perladangan.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Malaya Mohd Raus Shariff, juga mengetepikan perintah mahkamah tinggi kepada Jabatan Tanah dan Ukur untuk membetulkan status pendaftaran dan pembayaran ganti rugi.

Mahkamah, sebulat suara menegakkan hujah LCDA dan kerajaan negeri yang Seksyen 132 Kanun Tanah Sarawak melindungi hak milik pajakan walaupun ia menunjukkan yang tanah NCR diterokai di atas tanah yang dipisahkan, mengarahkan pemilik tanah diberi pampasan bagi kehilangan tanah mereka dan kuantum akan diputuskan oleh mahkamah.

Mahkamah memerintahkan kerajaan negeri dan penguasa Jabatan Tanah dan Ukur, bahagian Samarahan, untuk membayar pampasan.

Hakim lain ialah Suriyadi Halim Omar, Zainun Ali, Balia Yusof Wahi dan Jeffrey Tan.

Raus berkata hakim perbicaraan dan hakim Mahkamah Rayuan gagal melihat fakta terhadap kenyataan tiga bidang tanah yang dipertikaikan itu yang kemudiannya ditukar kepada tanah negeri yang dipajak.

“Kesan penukaran ini adalah tanah yang dipertikaikan itu bukan lagi pajakan sementara tetapi pajakan wajar dan berhak kepada perlindungan Seksyen 132 Kanun Tanah Sarawak,” kata Raus dalam keputusan itu, yang disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Edwin Paramjothy Michael Muniandy.

“Seksyen 132 Kanun Tanah Sarawak yang berkaitan dengan ketidaktentuan hak milik masih boleh digunakan walaupun ia dapat menunjukkan NCR telah dibuat.”

Mahkamah berkata, tuntutan untuk NCR tidak mengatasi ketelusan hak milik, walaupun hak itu dikeluarkan selepas NCR dinyatakan.

“Kami mahu tanah kami. Kami tidak peduli tentang pampasan,” kata Tuai Rumah (ketua rumah panjang), Nyutan Jami ketika ditemui.

Nyutan dan dua pemilik tanah lain, Gangak Guma dan Langa Kama, memfailkan saman pada 1997 selepas syarikat perladangan meneroka tiga bidang tanah dan mula membersihkan kerja-kerja bagi kelapa sawit.

Pajakan sementara dikeluarkan pada 1996.

Nyutan, yang juga bertindak menyaman bagi pihak 183 pemilik tanah lain, berkata pencerobohan itu memusnahkan tanaman di kawasan yang mereka usahakan.

“Kami mahukan tanah ini kerana ini adalah tanah yang kami warisi selama beberapa generasi.

“Ini adalah tanah nenek moyang. Sekarang kita tidak mempunyai tanah untuk diberikan kepada generasi akan datang,” ujar Nyutan sambil menangis.

“Hari ini benar-benar Jumaat yang malang,” kata peguam Dayak, See Chee How berkata, merujuk kepada tarikh “Friday the 13th”.

“Keputusan mahkamah kini menetapkan catatan baru,” kata See.

“Ia telah memberi kerajaan negeri satu cara baru untuk memadamkan tanah NCR.

“Hanya keluarkan PL (pajakan sementara) di mana-mana tanah yang mereka mahu. Jika pemilik tanah asal mencabar pajakan dan berjaya, mereka hanya akan mendapat pampasan.

“Mereka tidak akan dapat kembali tanah mereka,” kata See, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Batu Lintang. – 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen