CHINA memilih haiwannya yang paling ikonik – panda – untuk dijadikan maskot rasmi bagi kejohanan Olimpik Musim Sejuk pada 2022, umum jawatankuasa penganjur semalam.
Maskot itu dinamakan “Bing Dwen Dwen” ialah seekor panda montel memakai suit ais.
Beruang warna hitam putih itu ada “hati yang baik dan suka kepada kejohanan sukan”, kata Jawatankuasa Penganjur Beijing untuk Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Olimpik 2022.
Bagi kejohanan paralimpik, maskot ialah tanglung merah bernama “Shuey Rhon Rhon”.
Beijing akan menjadi kota pertama menganjurkan kedua-dua kejohanan iaitu musim panas dan musim sejuk, selepas menang untuk menjadi tuan rumah pada 2015, menewaskan Almaty.
Ibu kota China itu pernah mengadakan Olimpik 2008 dan ketika itu China dilihat sebagai kuasa besar yang sedang bangkit.
Beijing akan bergantung pada penggunaan salji palsu untuk kejohanan musim sejuk dan berkata ia memperuntukkan AS$1.5 bilion bagi pelaburan pembinaan perkampungan Olimpik, venue sukan dan infrastruktur lain.
Negara itu turut membina landasan kereta api berkelajuan tinggi dari Beijing ke Zhangjiakou, di mana lokasi itu dipilih menjadi tempat acara pergunungan diadakan.
Sebahagian venue yang digunakan pada Beijing 2008 termasuk stadium nasional sarang burung akan digunakan sekali lagi pada Olimpik 2022. – AFP, 18 September, 2019.
Komen