Badan Peguam gesa polis adil siasat kes fitnah Zakir, wakil rakyat


Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Siasatan ke atas wakil rakyat Charles Santiago dianggap Badan Peguam perlu dilakukan dengan budi bicara polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2019.

POLIS perlu menggunakan budi bicara dalam siasatan ke atas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan wakil rakyat lain kerana kegagalan bertindak begitu boleh dianggap cubaan mengekang kebebasan bersuara, kata Presiden Badan Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor. 

Charles, Isnin lalu, dilaporkan menghabiskan masa tiga jam di Bukit Aman untuk soal siasat berkaitan kes fitnah dan provokasi kerana kenyataan dikeluarkannya terhadap pencemarah kontroversi Dr Zakir Naik. 

Zakir membuat laporan polis terhadap Charles dan tiga lagi wakil rakyat serta seorang bekas duta kerana didakwa memfitnahnya. 

Abdul Fareed memberitahu The Malaysian Insight, polis berkuasa untuk menyiasat apabila laporan dibuat dan menjadi haknya untuk memulakan siasatan kerana jenayah fitnah berdasarkan peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan akta lain sekiranya ada unsur jenayah. 

Bagaimanapun, beliau, berpandangan siasatan kes terhadap Charles berdasarkan laporan dibuat Zakir adalah isu melibatkan dua individu. 

“Mana-mana pihak tidak berpuas hati boleh menggunakan mahkamah sivil,” katanya. 

“Kerana itu, Badan (Peguam) berpandangan yang pihak berkuasa sewajarnya menggunakan budi bicara dalam menjalankan siasatan yang boleh dianggap untuk menganggu kebebasan bersuara dalam ruang demokratik dijamin perlembagaan.

“Terutama sekali dalam kes Charles Santiago yang merupakan wakil dipilih rakyat.” 

Polis sedang menyiasat kenyataan Santiago yang mana berhujah Kabinet perlu membincangkan isu Zakir kerana dianggap mengganggu hal ehwal negara dan mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkannya berceramah di Malaysia. 

Ini berlaku selepas ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan bulan lepas apabila beliau didakwa berkata penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Zakir kemudian membuat laporan polis terhadap Charles, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, bekas duta Dennis J Ignatius, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy selepas mereka mengecam ceramahnya itu. 

Minggu lepas, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) juga berkata dakwaan Zakir terhadap lima individu itu adalah kes sivil, dan kerana itu tidak wajar polis menjalankan siasatan. – 18 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen