INDONESIA menggerakkan sepenuhnya usaha memadamkan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu menyelubungi seluruh Asia Tenggara dengan pemadaman udara, pembenihan awan malah melakukan solat, kata Presiden Joko Widodo ketika melawat kawasan bencana hari ini.
Kebakaran hutan yang berlaku di Kalimantan dan Sumatera, menyebabkan jerebu teruk sehingga ke negara jiran, Malaysia dan Singapura.
Ketika lawatan ke Riau, di Sumatera hari ini, Widodo berkata hampir 6,000 anggota tentera sudah dikerahkan ke seluruh kawasan titik panas untuk memadamkan kebakaran.
“Kami sudah mengambil setiap langkah (memadamkan kebakaran),” katanya.
Selain anggota bomba di lapangan, berpuluh pesawat digunakan untuk pembenihan awan serta pemadaman api menerusi udara, katanya.
“Kami juga bersembahyang,” tambahnya, selepas melawat Masjid Amrulloh di Pekanbaru.
Asap tebal yang menyebabkan jerebu terhasil daripada pembakaran hutan terbuka untuk membersihkan tanah pertanian adalah masalah tahunan untuk Indonesia dan negara jirannya, tetapi situasi bertambah buruk tahun ini kerana musim kemarau.
Semalam, pihak berkuasa mendedahkan hampir 200 orang sudah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan sehingga ia tidak terkawal.
Empat syarikat juga disiasat, kata pihak berkuasa.
Agensi meterologi Asean pada Selasa berkata jumlah titik merah sudah stabil, tetapi jerebu tebal terus menyelubungi rantau itu.
Di Borneo, kawasan yang dikongsi tiga negara- Indonesia, Malaysia dan Brunei- tahap pencemaran mencapai tahap “bahaya” menurut data Kementerian Alam Sekitar. Ratusan sekolah di Indonesia sudah diarah tutup.
Di Semenanjung Malaysia pula, tentera udara dan agensi kaji cuaca mempergiat proses pembenihan awan untuk menurunkan hujan supaya dapat mengurangkan jerebu.
Ratusan sekolah turut ditutup semalam, menjejaskan lebih 350,000 pelajar.
Kualiti udara di kebanyakan tempat di Malaysia dan Sarawak berada pada tahap “tidak sihat” dan “sangat tidak sihat”.
Manakala, kualiti udara di Singapura pula berada dalam tahap “sederhana” selepas berada dalam kategori “tidak sihat” pada hujung minggu, kata pegawai. – AFP, 17 September, 2019.
Komen