Pegawai Imigresen ditahan suspek sindiket palsu pasport


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS menahan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang dipercayai dalang sindiket membuat pasport palsu untuk kegiatan menyeludup masuk warga asing ke negara ini.

The Malaysian Insight difahamkan pegawai berusia 40 tahun itu ditahan bersama seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai perunding syarikat.

“Sindiket ini akan menyediakan pasport bersama cop keluar masuk Jabatan Imigresen bagi warga asing yang masih berada di negara asal mereka.

“Mereka menetapkan harga antara RM5,000 ke RM10,000 bagi satu pasport. 

“Wanita itu dipercayai ejen syarikat manakala pegawai itu menyalahgunakan cop rasmi Imigresen untuk menghasilkan dokumen palsu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan itu dan berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis. 

“JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana- mana pegawai  yang tidak berintegriti dan terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada jika pegawai berkenaan  terbukti bersalah,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Zulkifli Adamsah berkata, pihaknya menemui pelbagai dokumen yang digunakan oleh sindiket itu dalam kereta yang dinaiki pasangan tersebut.

Antara yang ditemui ialah 152 keping pelekat bertulis “Malaysia Immigration Department”, 12 cop keluar masuk Imigresen, dua keping pasport China dan satu pasport Indonesia serta wang tunai lebih RM7,000.

“Mereka ditemui dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta KLIA.

“Mereka ditahan pada 16 September (semalam) dan direman sehingga 20 September (Jumaat ini),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin yang mengesahkan kes itu berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen