Pandikar Amin dan Salleh Keruak sokong Anwar jadi PM


Jason Santos

Pandikar Amin Mulia dan Salleh Keruak, dua bekas pemimpin kanan Barisan Nasional, menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

BEKAS Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia dan bekas pemimpin Umno Salleh Said Keruak secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia seterusnya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka menegaskan mereka tidak akan mendaftar sebagai ahli parti Pakatan Harapan.

Pandikar yang merupakan presiden Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (Usbo) yakin Anwar akan membawa pembaharuan dalam negara serta melindungi kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak.

Pandikar juga menegaskan beliau tidak perlu menjadi ahli PKR untuk menyokong Anwar.

“Berita kehadiran kami di sini bersama Anwar akan disalah tafsir. Ia tidak bersifat politik. Kami bukan masuk PKR.

“Tetapi, apa yang saya nampak, saya tak perlu masuk PKR untuk sokong Anwar, saya tak perlu pegang sebarang jawatan dalam PKR,” katanya pada majlis sambutan Hari Malaysia anjuran Usbo di Kota Belud, Sabah, hari ini.

Sementara itu, Salleh, bekas menteri komunikasi dan multimedia berkata Anwar dalam landasan tepat untuk menyelamatkan Malaysia daripada politik pelampau yang menular dalam negara.

“Usbo menyokong sepenuhnya Anwar untuk menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir (Mohamad).

“Rakyat Malaysia perlu memilih pemimpin yang boleh menyelamatkan negara daripada kerosakan kerana terdapat usaha mengangkat politik pelampau,” kata Salleh yang merupakan ketua menteri Sabah daripada 1994 sehingga 1996.

Anwar juga menekan kehadirannya pada majlis itu tidak bersifat politik.

Beliau turut meluahkan rasa tersentuh dengan sokongan kuat dua bekas pemimpin kanan Umno itu.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini tidak sependapat kerana Pandikar dan Salleh adalah orang kuat kerajaan dan Anwar adalah ketua pembangkang ketika pentadbiran BN. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen