POLIS menegaskan wanita warga Malaysia Moganambal Govindasamy tidak bersama tiga orang lelaki yang ditembak mati oleh polis dalam kejadian Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin turut menangkis tuduhan peguam keluarga wanita tersebut bahawa polis mereka cerita berhubung kejadian itu.
“Saya ingin menegaskan wanita itu tidak bersama tiga lelaki itu ketika kejadian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Noor Azam juga menangkis tuduhan wujud salah laku polis dalam kejadian itu kerana anak buahnya hanya bertindak balas ke atas tembakan.
“Kami hanya bertindak balas terhadap tembakan yang dilepaskan ke arah polis terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya salah seorang daripada yang maut itu dikenalpasti sebagai seorang warga Sri Lanka pemegang taraf pemastautin tetap United Kingdom.
Keluarga Moganambal terdahulu menamakan lelaki tersebut sebagai suami wanita itu, Janarthanan Vijayaratnam.
Pasangan itu baru tiba di Malaysia pada 27 Ogos lalu bersama tiga anak selepas menetap di United Kingdom selama enam tahun, menurut keluarga berkenaan.
Oleh itu keluarga itu mempersoalkan kenyataan polis yang menggambarkan Janarthanan sebagai suspek kes samun dan pecah rumah kerana lelaki itu baru tiba di Malaysia.
Mereka turut menegaskan, Moganambal berada di dalam kereta sewaktu kejadian tembak menembak pada awal pagi Sabtu dan kini tidak dapat dikesan.
Seorang lagi yang maut dinamakan sebagai adik Moganambal, Thavaselvan.
Sementara itu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan, suruhanjaya itu akan menyiasat mengenai dakwaan wujud salahguna kuasa polis dalam kes berkenaan.
Suhakam juga akan menyiasat sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sebelum tembakan dilepaskan, kata seorang pesuruhjayanya Jerald Joseph.
“Adakah mereka memberi amaran terlebih dahulu sebelum melepaskan tembakan? Jika benar tiga individu itu adalah suspek pecah rumah, kenapa mereka tidak ditahan sebaliknya ditembak mati?”
Selain itu Suhakam juga akan menyiasat dakwaan keluarga berkenaan menerima fakta berbeza mengenai kes itu daripada seorang anggota polis berpangkat sarjan.
Menurutnya, keluarga itu mengadu kepada Suhakam bahawa anggota polis itu memberitahu empat orang ditembak dalam kejadian tersebut.
Anggota itu memberitahu keluarga, seorang daripadanya berjaya melarikan diri ke hutan dan kemudiannya ditahan dengan bantuan anjing pengesan, kata Joseph.
“Tetapi Ketua Polis Selangor Noor Azam pula menyatakan hanya tiga individu ditembak dalam kejadian itu. Wujud percanggahan fakta dalam kes ini,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan bertemu dengan pegawai penyiasat, pegawai operasi, pakar forensik dan Noor Azam bagi mendapatkan gambaran lebih jelas dalam menyiasat kes berkenaan. – 17 September, 2019.
Komen