India tawar 1,000 biasiswa PhD kepada pelajar Asean


Menteri Pembangunan Sumber Manusia India Ramesh Pokhriyal Nishank berkata biasiswa itu akan memperkukuh hubungan antara India dan negara-negara Asean. – Gambar AFP, 17 September, 2019.

INDIA pada Isnin melancarkan satu inisiatif bagi menawarkan sehingga 1,000 Biasiswa PhD (Doktor Falsafah) bersepadu untuk pelajar Asean di 23 Institut Teknologi India (IIT), lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pada majlis pelancaran itu, Menteri Pembangunan Sumber Manusia India Ramesh Pokhriyal Nishank berkata biasiswa itu akan memperkukuh hubungan antara India dan negara-negara Asean.

Langkah itu dibuat selepas Perdana Menteri India Narendra Modi berjanji untuk mempertingkat hubungan akademik dengan negara-negara Asia Tenggara pada tahun lepas.

Program yang menelan kos sebanyak 3 bilion INR (lebih AS$40 juta) itu bakal menyediakan sejumlah 250 biasiswa tahun ini, 300 pada 2020 dan 450 pada 2021.

Menurut kerajaan India, pembiayaan itu akan meliputi keseluruhan kos belajar dan perbelanjaan hidup sehingga lima tahun bagi sesuatu program PhD. 

Kumpulan pertama pelajar Asean akan diambil pada Januari 2020. – Bernama, 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen