TDM mengaku lebih 1,000 hektar tanahnya di Indonesia terbakar


Kebakaran hutan melanda Indonesia menyebabkan jerebu rentas sempadan berlaku di beberapa buah negara jirannya termasuk Malaysia. – Gambar AFP, 17 September, 2019.

KIRA-KIRA 1,201 hektar tanah milik unit TDM Bhd, PT Rafi Kamajaya Abadi (PTRKA) terlibat dalam kebakaran.

TDM dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kawasan-kawasan ini dikenali sebagai North 2 Estate di NB2-Tapang ria, NB3-Kemantan, NB7 – Kancing and NB8 – Kayan.

“Daripada permulaan musim kering pada awal Ogos, PTRKA berada dalam keadaan berjaga-jaga dan melaksanakan langkah-langkah untuk menguruskan dan mengawal insiden kebakaran di kawasan beroperasi. 

“Ini termasuk mengekalkan pasukan pemadam kebakaran yang lengkapi sepenuhnya bagi menangani cuaca kering, angin kuat dan risiko kebakaran. Dalam tempoh beberapa minggu lepas, PTRKA dapat membendung kebakaran yang berlaku di kawasan itu,” kata syarikat itu.

TDM berkata laporan kepada pihak berkuasa tempatan termasuk laporan polis telah dibuat mengenai insiden kebakaran dan PTRKA terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan, bomba dan penduduk kampung dalam memantau titik panas dan operasi bersama bagi pencegahan kebakaran dan tujuan memadam kebakaran. 

TDM mengamalkan prinsip RSPO dan ditadbir oleh dasar  “Tiada Pembakaran” yang ketat yang menetapkan bahawa tidak boleh menggunakan cara pembakaran dalam persiapan bagi penanaman baharu, penanaman semula atau sebarang perkembangan lain. 

“Kami ingin menegaskan bahawa sejak 2016, tiada sebarang aktiviti pembersihan tanah mahupun pembangunan baharu dijalankan dalam kawasan operasi kami,” kata TDM.

Pada 3.47 petang saham TDM susut setengah sen kepada 17 sen dengan 596,200 saham diniagakan. – Bernama, 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen