PEGAWAI penerangan kerajaan negeri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Husin ditahan oleh polis selepas menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Ketua Pemuda PKR Pulang Pinang, Asrol Sani Abdul Aziz, yang menyaksikan penahanan itu, berkata Wan Ji sebelum itu menyampaikan khutbah Jumaat di masjid yang sama.
“Ada lebih kurang 20 anggota polis yang menunggunya. Mereka tidak beritahu kenapa, cuma mengatakan ini bersabit dengan satu kes di Kuala Lumpur,” katanya.
Wan Ji kemudiannya dilihat meninggalkan ibu pejabat polis di Bandar Perda, Bukit Mertajam sekitar jam 5.15 petang dan difahamkan beliau dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung PKR yang juga penasihat strategik kerajaan negeri Pulau Pinang Saifuddin Nasution Ismail berkata peguam Ahmad Rizal Abd Hamid berada bersama dengan Wan Ji di balai polis dan kenyataan akan dikeluarkan sebaik sahaja sebab penahanan diketahui.
“Satu kenyataan akan dikeluarkan sejurus pihak peguam yang berada bersama beliau mendapat maklumat sahih, mengapa Ustaz Wan Ji ditahan,” katanya.
Dalam pada itu Rizal hanya dapat mengesahkan bahawa penahanan Wan Ji dibuat berhubung siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Beberapa ahli Pemuda PKR turut menunggu di luar ibu pejabat polis di Bandar Perda, Bukit Mertajam sebagai menunjukkan solidariti.
Ahli Pemuda PKR Fahmi Zainol, yang juga pegawai khas pejabat PKR Permatang Pauh berkata, Wan Ji berkemungkinan ditahan untuk siasatan dakwaan hasutan berikutan laporan polis yang dibuat oleh pengguna media sosial.
Ketua polis daerah Seberang Prai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kes Wan Ji tidak dikendalikan oleh polis Pulau Pinang.
“Ia adalah kes Bukit Aman. Saya tidak tahu butiran lanjut,” katanya.
Wan Ji, yang juga Ketua Biro Agama Pemuda PKR, baru-baru ini dilantik sebagai Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kementerian Dalam Negeri, melalui warta yang dibuat pada 28 September lalu, mengharamkan buku Wan Ji bertajuk “Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi”. Pengharaman itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi pada 6 September lalu.
Buku tersebut adalah antara 22 penerbitan yang diharamkan melalui warta berasingan pada tarikh yang sama, termasuk buku “Aku___, Maka Aku Ada!” karya Faisal Tehrani dan buku “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” dan terjemahannya “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” oleh penulis Turki, Mustafa Akyol.
Wan Ji sebelum ini pernah ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 pada 10 September 2014 berhubung kenyataan kontroversinya mengenai Islam dan sistem beraja.
Beliau ditahan ketika Putrajaya pada masa itu menyiasat dan mendakwa sejumlah pemimpin politik, aktivis dan ahli akademik di bawah akta warisan sebelum Merdeka itu, termasuk Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pensyarah Universiti Malaya, Prof Azmi Sharom.
Wan Ji dihadapkan ke mahkamah pada hari yang sama dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghasut melalui satu tulisan di Facebook yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Pada awal 2015, beliau mendapat kebenaran mahkamah untuk mengemukakan kes ke Mahkamah Persekutuan mencabar kesahihan Akta Hasutan di sisi Perlembagaan Persekutuan, tindakan sama yang diambil oleh beberapa orang lain yang berdepan pendakwaan mengikut akta yang sama pada masa itu.
Wan Ji bukan seorang yang asing dengan tindakan daripada pihak berkuasa. Pada 30 Julai lepas, Wan Ji ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung dakwaan memberi usrah tanpa tauliah di sebuah surau di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau juga pernah ditahan oleh pihak berkuasa negeri yang sama pada 20 Februari 2015 atas dakwaan yang hampir sama melibatkan sebuah kuliah di sebuah surau di Shah Alam.
Sementara itu Pemuda PKR akan mengadakan perhimpunan solidariti sebagai sokongan kepada Wan Ji yang juga pengerusi biro pemahaman dan pemantapan agama sayap parti itu.
Perhimpuan itu dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam ini di hadapan IPD Dang Wangi. – 13 Oktober, 2017.
Komen