AMHARI Efendi Nazaruddin berkata beliau tidak tahu apa-apa apabila peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah membayangkan bahawa Low Taek Jho memainkan peranan penting dalam penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas pegawai khas Najib itu hari ini menegaskan yang beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara yang disebut oleh Shafee pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib, 66, dihadapkan dengan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk menyeleweng RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Shafee juga mencadangkan bahawa Low yang juga dikenali sebagai Jho Low mengusulkan nama penyanyi kumpulan rock U2, Bono sebagai ahli lembaga pemegang amanah yayasan TIA.
Beliau juga berkata Permairusi Jordan Puteri Rania dan Rosmah Mansor juga dicadangkan ke dalam yayasan yang akan dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Sebenarnya, kebanyakan individu dalam senarai itu tidak tahu tentang TIA?” soal Shafee kepada Amhari ketika sesi pemeriksaan balas.
“Ini kerja penipu,” tambah Shafee.
Amhari kemudian berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai senarai itu atau sama ada Jho Low menipu.
Shafee sebelum itu merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 4 Mei 2009 dari bekas CEO TIA Shahrul Ibrahim Halmi kepada Najib.
Terdapat lampiran yang menyebut Sultan Mizan menjadi pengerusi lembaga pemegang amanah yang turut disertai Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
Ia turut menyebut nama lain yang dicadangkan adalah bekas timbalan perdana menteri Kuwait Sheikh Mohd Sabah Al Salim dan CEO LVMH Bernard Arnault.
Shafee mencadangkan nama-nama yang diusulkan itu bertujuan untuk menarik perhatian kerajaan negeri Terengganu.
Amhari berkata beliau tidak tahu. – 17 September, 2019.
Komen