SEORANG bekas ketua menteri Jammu dan Kashmir yang dilihat pro-India, secara rasmi ditangkap di bawah undang-undang yang membolehkannya ditahan sehingga dua tahun tanpa sebarang pertuduhan, kata pihak berkuasa pada Selasa.
Farooq Abdullah, 81, ditahan sejak awal Ogos apabila India menggugurkan Kashmir daripada autonominya, mengenakan sekatan keselamatan dan menahan puluhan ahli politik tempatan termasuk mereka yang mempertahankan wilayah ini sebagai sebahagian daripada India.
Tetapi pada Isnin beliau ditangkap secara rasmi di bawah Akta Keselamatan Awam (PSA) dan dikurung di rumahnya, kata Muneer Khan, pegawai kanan polis di Kashmir kepada AFP.
Ia adalah kes pertama yang disahkan melibatkan penahanan ahli politik Kashmir di bawah PSA sejak langkah India pada 5 Ogos ketika ia menghantar 10 ribu tentera ke Kashmir dan mengenakan sekatan komunikasi.
Penasihat keselamatan kebangsaan India pada awal bulan ini mengatakan “majoriti” penduduk Kashmir menyokong langkahnya kecuali golongan “minoriti vokal” yang disokong oleh Pakistan, yang dituduh oleh India menyokong pemberontakan sekian lama yang membunuh puluhan ribu orang.
Namun selepas langkah itu, ahli politik pro-India bersuara mengenai campur tangan New Delhi.
Sehari selepas kerajaan India membatalkan status khas, Abdullah memanjat tembok rumahnya untuk bercakap dengan media dan mengutuk langkah itu. Itulah kali terakhir beliau dilihat muncul di khalayak ramai.
PSA diperkenalkan pada 1970-an - di bawah bapa Abdullah, Sheikh Abdullah - untuk mencegah penyeludupan balak tetapi sejak pemberontakan terhadap pemerintahan India meletus pada 1989, ia digunakan untuk menahan ribuan orang, kata aktivis.
Pejabat hak asasi manusia PBB mengatakan pada 2018 undang-undang khas di Kashmir termasuk PSA melanggar hak asasi manusia.
Kashmir terbahagi antara India dan Pakistan sejak 1947 dan sejak itu kedua-dua terlibat dalamdua perang.
Telefon mudah alih dan internet masih terputus di kebanyakan Lembah Kashmir, tempat penentangan terhadap peraturan India, lebih enam minggu selepas langkah New Delhi, yang dikatakan bertujuan meningkatkan ekonomi di rantau ini.
Dalam tempoh yang sama India menahan lebih 4,000 orang, 3,000 daripadanya dibebaskan, dengan hampir 200 orang awam dan 415 anggota pasukan keselamatan cedera dalam ratusan protes, kata sumber kanan kerajaan kepada AFP minggu lalu. – AFP, 17 September, 2019.
Komen