Peguam Jerman terima ugutan bunuh


Pada Disember, lima pegawai polis di Frankfurt telah digantung tugas kerana disyaki mengambil maklumat peribadi Yildiz daripada rekod rasmi dan mengongsinya dengan puak pelampau kanan. – Gambar EPA, 17 September, 2019.

SEORANG peguam yang berusaha mengheret kumpulan neo-Nazi Jerman National Socialist Underground (NSU) ke muka pengadilan bagi pelbagai kesalahan membunuh telah menerima beberapa ugutan bunuh, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan pada Isnin.

Hessische Rundfunk melaporkan bahawa Seda Basay Yildiz baru-baru ini menerima faks dengan ugutan bunuh tiga hari selepas pembunuhan ahli politik Jerman Walter Lubcke. 

Lubcke, seorang anggota parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) pimpinan Canselor Angela Merkel di bandar Kassel, maut selepas ditembak di bahagian kepala semasa berada di kebunnya pada Jun. 

Lubcke terkenal kerana menyokong dasar buka pintu Merkel untuk pelarian.

“Kami telah membunuh Walter Lubcke. Sekarang giliran anda,” menurut faks yang dihantar kepada Yildiz, yang ditandatangani “NSU 2.0” dan “Prinz Eugen Ssostubaf.”

Prinz Eugen Ssostubaf dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah unit tentera Nazi yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai di Yugoslavia.

Dari 2000 hingga 2007, kumpulan pengganas neo-Nazi (NSU) telah didakwa membunuh lapan pendatang Turki, seorang rakyat Greece serta seorang pegawai polis Jerman dan kes itu belum dapat diselesaikan.

Meskipun telah disabitkan dengan pelbagai kesalahan pada 2018, keluarga mangsa kecewa dan berkata perbicaraan kes itu telah menimbulkan banyak persoalan utama yang tidak terjawab.

Pada Disember, lima pegawai polis di Frankfurt telah digantung tugas kerana disyaki mengambil maklumat peribadi Yildiz daripada rekod rasmi dan mengongsinya dengan puak pelampau kanan. – Bernama, 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen