RM78 juta untuk baiki sekolah usang di Sabah, kata Guan Eng


Jason Santos

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peruntukan untuk tahun hadapan itu dibuat susulan permintaan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 17 September, 2019

LIM Guan Eng mengumumkan peruntukan RM78 juta bagi membaik pulih sekolah-sekolah usang di Sabah.

Menteri Kewangan berkata peruntukan untuk tahun hadapan itu dibuat susulan permintaan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

“Peruntukan itu dibuat susulan desakan ketua menteri dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang telah memberitahu saya untuk melihat perkara itu dengan serius.

“Sehubungan itu kita memperuntukkan RM78 juta bagi tujuan membaiki sekolah-sekolah yang usang di Sabah,” katanya pada program 2020 Budget Talk bersama menteri kewangan di Kota Kinabalu hari ini.

Lim berada di negeri berkenaan bagi lawatan kerja bersama Dr Mahathir Mohamad sempena sambutan Hari Malaysia.

Terdahulu menteri berkenaan melancarkan Dana Maritim Bank Pembangunan Malaysia.

Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Dr Yusof Yackob pada Jun tahun ini berkata Sabah memerlukan RM3 bilion untuk membaik pulih sekolah di Sabah.

Sebanyak 587 daripada 1,296 sekolah di Sabah telah usang dan sebanyak 90 sekolah diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya. – 17 September, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen