Amanah harap Umno-PAS tak jadi pelampau haluan kanan


SM Amin

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata Umno dan PAS tidak dapat menawarkan apa-apa kepada rakyat selain harapan berdasarkan penyatuan kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 September, 2019.

PAKATAN Harapan tidak perlu risau kerana kempen penyatuan ummah Umno-PAS hanyalah usaha bagi pembangkang itu untuk bertahan, kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, kedua-dua parti itu tidak dapat menawarkan apa-apa kepada rakyat selain harapan berdasarkan penyatuan kaum, berbanding parti kerajaan yang dapat menguruskan perbezaan kaum.

“Kerjasama Umno dan PAS ini dinamika dalam politik. Saya kira PH tidak perlu gusar. Parti politik pembangkang perlu mengambil langkah-langkah untuk survive.

“Mereka tiada apa-apa untuk ditawarkan ketika ini selain daripada harapan melalui penyatuan ummah.

“Itu adalah tindakan mana-mana parti terutamanya yang kalah untuk bertahan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya pembangkang yang kuat akan membantu menjalankan tanggungjawab semak dan imbang tetapi parti berkenaan tidak harus menjadi pelampau berhaluan kanan.

Pembangkang yang kuat akan membantu menjalankan tanggungjawab semak dan imbang tetapi parti berkenaan tidak harus menjadi pelampau berhaluan kanan, kata Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2019.

“Kalau mereka mengambil pendekatan haluan kanan yang ekstrem, saya tidak kata mereka begitu tetapi kalau mereka membawa agenda itu, bertambah sukarlah Malaysia baru yang kita hendak bina.

“Kita mahukan kerajaan yang terus membina semula negara dan pembangkang yang kuat dan kukuh untuk semak dan imbang.

“Cumanya jangan tarik Malaysia ke bawah dengan pakatan yang berdasarkan kaum dan agama dan melampau dalam sudut perkauman dan agama. Jadilah pemimpin bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah ahli Parlimen Kuala Selangor itu, menguruskan perbezaan kaum, agama dan budaya dalam negara jauh lebih penting daripada bekerjasama hanya disebabkan “persamaan”.

“Kekuatan utama Pakatan Harapan adalah kemampuan dalam menguruskan perbezaan sama ada kaum, agama dan budaya yang lebih penting daripada bersatu hanya disebabkan kesamaan. Rakyat akan menilai.

“Kami dalam kerajaan akan teruskan dan bawa Kemakmuran Bersama untuk memulihkan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan kepada anak muda, dan usaha dan misi untuk melahirkan masyarakat yang akan dapat menangani kesenjangan ataupun jurang-jurang itu,” katanya.

Beliau mengulas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani PAS dan Umno pada Sabtu lalu.

Dalam perjanjian itu, kedua-dua parti antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu.

Ia dipersetujui untuk dijalankan tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen