3 cedera kereta api tergelincir di Hong Kong


Sebuah kereta api penumpang tergelincir ketika waktu puncak di Hong Kong hari ini menyebabkan tiga orang cedera. – Gambar EPA, 17 September, 2019

SEBUAH kereta api penumpang tergelincir ketika waktu puncak di Hong Kong hari ini menyebabkan tiga orang cedera, kata pihak berkuasa.

Rakaman imej dari tempat kejadian menunjukkan tiga gerabak telah bergerak dari landasan dan menyeberangi rel berhampiran Stesen Hung Hom di Kowloon – persimpangan sibuk yang menyediakan perkhidmatan ke tanah besar China.

Penumpang terpaksa keluar dari kereta api melalui pintu yang patah dan menyeberangi landasan di laluan Rail East untuk menyelamatkan diri.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Menurut syarikat kereta api tunggal di bandar MTR Corporation, perkhidmatan kereta api di antara dua stesen digantung akibat kemalangan itu.

Hong Kong berada dalam bulan keempat berdepan krisis politiknya yang telah menyaksikan berjuta-juta penunjuk perasaan mengadakan protes di jalanan dalam cabaran terbesar pemerintahan China sejak penyerahan bandar dari Britain pada 1997.

Protes yang bermula bagi membantah rang undang-undang ekstradisi bertukar ganas berikutan pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan.

MTR Corporation telah menjadi sasaran penunjuk perasaan sejak syarikat itu enggan menyerahkan rakaman CCTV polis memukul penunjuk perasaan dan penumpang kereta api bawah tanah bulan lalu.

Penunjuk perasaan telah merosakkan pintu masuk dan mesin tiket stesen kereta api selain menghancurkan tingkap di beberapa stesen.

Pada Mac lokomotif MTC tergelincir dan melanggar kereta api lain ketika ujian sistem isyarat baharu.

Kedua-dua kereta api itu rosak teruk dan dua pemandu kereta api mengalami kecederaan ringan. Tiada penumpang berada di dalam kereta api berkenaan pada masa itu. – AFP, 17 September, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen