Kes sakit mata naik 30% kerana jerebu, kata menteri kesihatan


SM Amin

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad merasmikan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia dan Seminar Keselamatan Pesakit di Hotel Everly, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 September, 2019.

KES sakit mata bertambah 30% antara Ogos dan September kerana jerebu, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan pihak Kementerian Kesihatan sudah bersiap sedia menghadapi pertambahan jumlah pesakit yang mendadak kerana ini bukan kali pertama mereka menangani isu jerebu.

“Terdapat peningkatan antara 20% hingga 30% pesakit yang menghadapi sakit mata akibat jerebu di seluruh negara.

“Fasiliti kesihatan di klinik mata Kementerian Kesihatan telah bersiap siaga untuk menangani peningkatan yang mendadak akibat daripada jerebu ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia di Hotel Everly Putrajaya, hari ini.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah pula memberi contoh pertambahan sehingga sekali ganda pesakit di Hospital Shah Alam pada bulan ini berbanding bulan lalu, daripada 40 kepada 80 orang sehari.

Rata-rata mereka yang menghadapi masalah mata juga sudah mencuba rawatan di tempat lain sebelum datang ke hospital, katanya.

“Di Hospital Shah Alam, perbezaan pesakit bulan Ogos dan September, terdapat pertambahan sekitar 40 pesakit sehari. Kebiasaannya sehari kita menerima 30 hingga 40 pesakit sehari sahaja.

“Sakit mata masalah biasa jadi kebiasaannya pesakit pergi beli ubat sakit mata di farmasi sehingga mereka tidak puas hati dengan proses pemulihan itu, baru mereka datang ke hospital,” katanya dalam sidang media yang sama.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai sakit asma supaya terus datang ke hospital bagi mengelakkan komplikasi lain.

“Jika tidak mendapat rawatan yang betul, mungkin akan menyebabkan jangkitan yang membawa kepada komplikasi yang lain. Elakkan aktiviti luar,” katanya.

Keadaan berjerebu di bandaraya Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2019.

Jerebu melanda beberapa negeri di Malaysia sejak awal Ogos akibat kebakaran hutan kebanyakannya di Sumatera dan Kalimatan, serta di beberapa bahagian di Sarawak.

Keadaan semakin parah sejak minggu lalu memaksa lebih kurang 300 buah sekolah di Pontian, Muar dan Tangkak di Johor ditutup pada Ahad.

Semua sekolah itu bagaimanapun dibuka semula hari ini selepas keadaan reda iaitu tidak melepasi paras 200 pada bacaan indeks pencemaran udara (IPU).

Bagaimanapun sejak malam tadi Kementerian Pendidikan mengarahkan lebih 280 sekolah di sekitar lima daerah di Selangor serta Putrajaya dan Port Dickson di Negeri Sembilan ditutup. 

Lima daerah di Selangor itu ialah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana.

Hampir 300 buah sekolah juga ditutup di Sarawak, selepas bacaan IPU tidak sihat di Kuching dan Samarahan manakala Sri Aman mencecah tahap berbahaya.

Ini menjadikan keseluruhan lebih kurang 570 sekolah ditutup setakat tengah hari ini di seluruh Malaysia. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen