Peguam bela kepada Najib Razak membayangkan Sultan Mizan Zainal Abidin, yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong adalah individu di sebalik pembentukan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Semasa menyoal balas saksi pendakwa Amhari Effendi Nazaruddin, peguam bela Muhammad Shafee Abdullah membantah kenyataan bekas pegawai Najib itu bahawa TIA adalah “idea” bekas perdana menteri.
Merujuk kepada minit mesyuarat kabinet yang diadakan pada 12 Disember 2008 ketika Najib merupakan timbalan perdana menteri Shafee berkata, Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan perdana menteri ketika itu direkodkan sebagai berkata bahawa TIA telah dicadangkan oleh Sultan Mizan yang juga Sultan Terengganu.
Beliau juga merujuk kepada minit-minit di mana dikatakan bahawa kabinet juga dimaklumkan oleh Najib bahawa TIA diilhamkan oleh Sultan Mizan.
“Kabinet dimaklumkan bahawa penubuhan TIA sesuatu yang baik untuk Terengganu kerana ia akan menjana pendapatan untuk generasi akan datang apabila negeri itu kehabisan minyak,” katanya.
TIA dibentuk dengan RM10 bilion termasuk jaminan bon dan bantuan bon RM5 bilion dari hasil minyak Terengganu yang bernilai RM1.5 bilion setahun.
Terdahulu Amhari berkata beliau menganggap TIA merupakan “bayi” Najib dan tidak bersetuju dengan cadangan ia merupakan idea Sultan.
Shafee: Kamu kata TIA adalah bayi Datuk Seri Najib. Bolehkah kamu terangkan dengan tepat apakah maksud penerangan seperti itu?
Amhari: Maksudnya ia adalah sesuatu yang diilhamkan dan mempunyai kaitan dengan projek tertentu. Inilah yang saya maksudkan. Sesuatu yang dekat dengan seseorang. Sesuatu yang ingin dibawa oleh Datuk Seri dan penting baginya.
Shafee: Itu yang anda maksudkan? TIA adalah bayi Najib?
Amhari: Ya. Ia adalah bayinya dan saya tak tahu sama ada ia idea beliau.
Shafee: Sejak bila ia menjadi ideanya?
Amhari: Sejak ketika beliau ingin membawanya sebagai sebahagian daripada produknya dari saat beliau menjadi perdana menteri. – 17 September, 2019.
Komen