Keluarga minta penjelasan polis, mana Moganambal?


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG wanita masih gagal ditemui selepas pasangan serta seorang adiknya ditembak mati dalam kejadian di Batu Arang pada Sabtu lalu, kata peguam mewakili keluarga terbabit.

Peguam tersebut, Sivahnanthan Ragava berkata polis perlu menjelaskan sekiranya wanita terbabit Moganambal Govindasamy, 35 masih hidup atau sudah meninggal dunia.

“Moganambal yang turut berada di dalam kereta bersama tiga lelaki itu hilang dan statusnya juga tidak dijelaskan polis sehingga kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dakwanya, Moganambal berada dalam kereta terbabit bersama pasangan, seorang adik dan juga seorang lelaki lagi sewaktu kejadian berbalas tembak dengan polis.

Tegasnya, polis perlu menjelaskan perkara sebenar kerana keluarga pada awalnya diberitahu Moganambal ditahan pada hari kejadian.

“Yang peliknya, pada hari kejadian seorang polis berpangkat sarjan ada memaklumkan kepada keluarga yang Moganambal itu ditahan tetapi sehingga kini gagal memaklumkan status wanita itu.

“Kami ingin tahu sama ada di masih hidup atau sudah ditembak mati bersama suami dan adiknya,” kata Sivahnanthan.

Pasangan Moganambal dinamakan sebagai Janarthanan Vijayaratnam yang berasal dari Sri Lanka dan mempunyai kerakyatan British.

Beliau menolak dakwaan bahawa Janarthanan merupakan suspek pecah rumah kerana lelaki itu baru pulang dari luar negara.

“Dia bersama Moganambal baru pulang ke Malaysia dan bagaimana dia boleh dikaitkan dengan kegiatan jenayah pecah rumah.

Pasangan tersebut baru tiba di Malaysia pada 27 Ogos lalu bersama tiga anak selepas menetap di United Kingdom selama enam tahun, katanya.

Menurutnya, Janarthanan adalah warga Sri Lanka yang memiliki kerakyatan UK dan polis yang mendakwa arwah adalah suspek pecah rumah tidak masuk akal sama sekali.

“Dia bersama Moganambal baru pulang ke Malaysia dan bagaimana dia boleh dikaitkan dengan kegiatan jenayah pecah rumah,” soalnya.

Adik kepada Moganambal yang turut ditembak mati dinamakan sebagai Thavaselvan.

Tiga lelaki tersebut ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan selepas dikejar sejauh beberapa kilometer di Jalan Batu Arang, Rawang.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Laporan memetik kenyataan Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin pada hari itu menyebut, suspek disyaki terlibat dengan jenayah samun dan pecah rumah. – 17 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen