PERSEMBAHAN dangdut akan turut diadakan pada Isnin depan di Balai Kota sempena acara meraikan pelantikan Gabenor Jakarta yang baharu, Anies Baswedan dan timbalannya Sandiaga Uno, lapor Jakarta Post.
Anies dan Sandiaga dijadualkan akan bertemu Presiden Joko “Jokowi” Widodo di Istana Negara di Jakarta pada Isnin, 4 petang bagi upacara itu.
Anies memenangi pilihan raya untuk jawatan gabenor Jakarta dengan 58% undi menewaskan Basuki Tjahaja Purnama, atau lebih dikenali sebagai Ahok pada 19 April lalu.
Dari Istana Negara, mereka akan ke Balai Kota untuk sambutan yang disediakan dan disumbangkan oleh para sukarelawan, kata Anies.
“Kebanyakannya (sumbangan) adalah daripada penduduk dan kami hanya menyediakan pentas. Semuanya disumbangkan oleh komuniti,” katanya dipetik daripada kompas.com Khamis lalu.
Jurucakap kumpulan Anies-Sandiaga, Naufal Firman berkata sambutan akan diserikan dengan persembahan oleh Soneta – sebuah kumpulan dangdut diterajui oleh Raja Dangdut Rhoma Irama.
Sambutan itu juga akan dirancakkan dengan orang kelainan upaya.
Kira-kira 3,000 makanan dan minuman akan disediakan secara percuma, kata Naufal.
Sambutan itu yang akan turut disertai perarakan alu-aluan Betawi dijadualkan berakhir pada 9.30 malam.
Anies sebelum ini dipetik sebagai berkata kemenangannya menandakan permulaan untuknya dan Sandiaga mengembalikan keadilan kepada rakyat Jakarta.
Sandiaga menyeru semua penduduk bersatu semula setelah tamat pilihan raya. “Tiada lagi prejudis, sindiran atau penghinaan. Mari kita ketepikan perbezaan dan bersatu demi Jakarta yang lebih baik,” katanya. – 13 Oktober, 2017.
Komen