Polis kesan suspek kes bunuh di Manjung 


POLIS masih mengesan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki rakan senegaranya di pelantar ikan di Jalan Ujung Pasir dekat Pantai Remis, Manjung, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Lim Hong Shuan berkata suspek yang merupakan rakan sekerja mangsa dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup ( CCTV) di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, kita masih giat mengesan suspek bagi membantu siasatan. Kedua-duanya (mangsa dan suspek) tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan mereka baharu dua bulan bekerja di pelantar ikan berkenaan,” katanya.

Lim bercakap kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Pengukuhan Kemahiran Menunggang Motosikal Berat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Ipoh, hari ini.

Ahad lepas, mayat seorang lelaki ditemui dengan keadaan berlumuran darah dengan kesan cedera pada bahagian kepala dalam keadaan terlentang oleh orang awam kira-kira pukul 3.10 pagi.

Lim berkata hasil pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemukan senjata berupa kayu beluti mempunyai kesan darah ditemui berhampiran mayat mangsa.

Terdahulu, Lim dalam ucapannya berkata seramai 17 pegawai dan 52 anggota JSPT negeri terlibat dalam LDP berkenaan bermula semalam dan akan berakhir Khamis ini melibatkan perjalanan sejauh 882.1 kilometer di empat buah negeri iaitu Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Latihan ini dilaksanakan bagi memastikan kemahiran pengendalian kenderaan berkaitan tugasan trafik berada pada tahap tertinggi.

“Bagi memastikan objektif ini tercapai, latihan dalam bentuk teori dan praktikal perlu dilaksanakan supaya dapat memberi keyakinan terhadap petugas di JSPT sewaktu menjalankan tugas-tugas pengiring sekali gus menaikkan imej PDRM di mata masyarakat,” katanya. – Bernama, 17 September, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen