Selagi saya PM, tiada rombakan kabinet, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak akan menggantikan menteri kabinet sedia ada selagi memegang jawatan sebagai perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September Ogos, 2019.

TIADA rombakan kabinet selagi beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Sekiranya saya tukar menteri dan ambil yang baru, calon yang ada semuanya baru. Menteri sekarang ada pengalaman setahun sahaja.

“Saya fikir jika saya ambil menteri baru, saya ada tugas untuk membiasakannya dengan tugas baru. Dia mungkin tidak mampu,” kata perdana menteri kepada BFM dalam satu wawancara pagi ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada beliau perlu membuat rombakan kabinet dan perlu menggantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, yang sering dikritik berhubung prestasinya.

Namun, pemimpin berusia 94 tahun itu berkata, beliau tidak percaya dengan menggantikan menteri mampu menyelesaikan masalah.

“Menteri baru tidak bermakna mereka lebih baik kerana kita telah lihat perdana menteri baharu tak bermakna akan menjadi perdana menteri yang baik.

“Itu sebabnya saya tidak berminat untuk selesaikan maslaah dengan menggantikan orang. Saya pernah gantikan orang sebelum ini. Saya letak jawatan dan kemudian saya diminta kembali,” kata Dr Mahathir.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan bagaimanapun berkata, pembaharuan pendidikan perlu perubahan radikal.

“Oleh sebab pertumbuhan bilangan pelajar dan guru, pertumbuhan tidak seragam di mana sekolah-sekolah tertentu berjalan dengan lancar manakala yang lain tidak. Mungkin ini disebabkan kualiti guru yang berbeza.

“Apa yang kita cuba lakukan seekarang ialah untuk mencari guru yang terbaik untuk rekodkan pembelajaran dan guru lain menggunakan pembelajaran yang disediakan oleh guru terbaik. Ini mampu diterjemahkan seperti kursus bahasa,” kata Dr Mahathir.

Berhubung mengapa beliau tidak memegang portfolio pendidikan, Dr Mahathir berkata: “Ia tidak berlaku kerana kami sudah berjanji PM tidak boleh pegang portfolio lain.”

Dr Mahathir juga mengulangi kenyataan beliau akan kekal sebagai “PM sementara” ketika ditanya sama ada beliau akan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Saya berjanji bahawa saya akan menjadi PM sementara dan saya akan laukan. Saya akan tunai janji.”

Walaupun sering mengulangi kenyataan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, beliau masih merahsiakan tarikh sebenar penyerahan itu.

“Saya perlu  pastikan yang saya sudah selesaikan masalah yang besar sebelum menyerahkan kuasa. Penetapan tarikh menyukarkan saya untuk jalankan tugas.”– 17 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen