KOREA Selatan pada Selasa melaporkan kes pertama demam selesema babi Afrika, menjadi negara terbaharu dilanda penyakit yang membunuh babi dari China hingga Korea Utara, menyebabkan harga daging babi di seluruh dunia naik.
Lima babi yang ditemui mati di sebuah ladang di Paju, sebuah bandar berhampiran sempadan antara Korea, disahkan dijangkiti virus itu, kata seorang pegawai Kementerian Pertanian Seoul memberitahu AFP.
“Pada ketika ini, terlalu awal untuk mengesahkan jika kes itu berpunca dari Utara,” kata pegawai itu.
Menteri Pertanian Seoul Kim Hyun-soo berkata 3,950 babi dari tiga ladang di Paju terpaksa dibunuh.
Virus ini tidak berbahaya kepada manusia tetapi menyebabkan demam haemorrhagic pada babi yang selalu membawa maut.
Tiada penawar atau vaksin dan satu-satunya cara yang diketahui untuk mencegah penyakit itu daripada merebak adalah memusnahkan ternakan yang dijangkiti.
Kes yang disahkan di Selatan berlaku sekitar tiga bulan selepas Pyongyang memberitahu Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia bahawa puluhan babi mati akibat penyakit itu di ladang berhampiran sempadan China, menurut Kementerian Pertanian Selatan.
Pada Jun, Seoul berkata penyakit itu “berkemungkinan besar” memasuki negara ini dari Utara dan mengarahkan pagar dibina di ladang di sepanjang sempadan untuk mengelakkan kemungkinan hubungan antara babi ternakan dan babi hutan.
Terdapat sekitar 6,700 ladang babi di Korea Selatan dan peternakan babi menyumbang 40% daripada keseluruhan industri ternakan.
Pada Mei, Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB berkata harga daging babi naik sehingga 50% di China dan di bursa niaga hadapan Chicago akibat wabak tersebut.
Bulan lalu, ia berkata hampir lima juta babi di Asia mati atau telah dimusnahkan kerana penyebaran penyakit itu. – AFP, 17 September, 2019.
Komen