SEMUA sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan pula ditutup serta merta pagi ini selepas keadaan jerebu di daerah itu mencapai tahap sangat tidak sihat, kata Kementerian Pendidikan.
Arahan itu melibatkan 63 buah sekolah dengan keseluruhan 22,877 murid.
Penutupan ini menjadikan setakat awal hari ini, lebih 230 buah sekolah ditutup termasuk 165 di beberapa daerah di Selangor dan 25 di Putrajaya, berdasarkan arahan kementerian malam tadi.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Port Dickson mencecah lebih 200 sejak pukul 6 pagi tadi, mencecah 211 pada pukul 8 pagi.
“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
“Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan Kementerian Pendidikan memaklumkan 12 sekolah swasta di Lembah Klang dan Negeri Sembilan ditutup hari ini, melibatkan 7,432 murid.
Empat sekolah swasta itu di Selangor, empat di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan masing-masing satu di Cyberjaya dan Port Dickson.
Setakat 8 pagi, bacaan IPU di Sri Aman, Sarawak mencecahkan lebih 300 iaitu tahap berbahaya. Bacaan IPU di Sri Aman pada 3 pagi ialah 311 dan melonjak sehingga 365 pada 8 pagi.
Dua kawasan menunjukkan tahap udara sangat tidak sihat iaitu Johan Setia Klang di Selangor dan Kuching Sarawak, sementara 29 kawasan lain udaranya sangat tidak sihat.
Antara kawasan yang tidak sihat ialah beberapa daerah di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya. – 17 September, 2019
Komen