Trump tunggu masa sesuai lawat Pyongyang


Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bersetuju memulakan semula dialog peringkat kerja semasa pertemuan di DMZ pada Jun, dan minggu lalu Pyongyang menawarkan untuk mengadakannya pada akhir September. – Gambar AFP, 17 September, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Isnin bahawa sekarang bukan masa yang sesuai baginya melawat Korea Utara tetapi menjangka berbuat demikian pada masa akan datang.

“Saya tidak fikir kami bersedia untuk itu,” kata Trump kepada pemberita apabila ditanya mengenai lawatan ke Pyongyang untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

“Hubungan kini sangat baik,” Trump menambah, tetapi masanya belum tepat untuk lawatan ke Pyongyang.

“Saya akan melakukannya suatu masa nanti, pada suatu masa kelak,” katanya. “Dan bergantung kepada apa yang berlaku, saya pasti beliau akan suka datang ke AS juga.”

Kim mempelawa Trump melawat Pyongyang dalam satu surat yang dihantar bulan lalu, akhbar JoongAng Ilbo Korea Selatan melaporkan pada Isnin, mengulangi jemputan yang dikeluarkan pada mesyuarat terakhir mereka di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara Korea itu.

Korea Utara pada hari yang sama menuntut AS memberikan jaminan keselamatan sebagai prasyarat untuk menyambung semula rundingan nuklear yang menemui jalan buntu, memudarkan harapan bagi progres dialong peringkat kerja yang diharapkan pada minggu mendatang.

Perundingan nuklear di antara kedua-dua negara buntu sejak sidang kemuncak kedua antara Kim dan Trump pada Februari yang berakhir tanpa perjanjian.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memulakan semula dialog peringkat kerja semasa pertemuan di DMZ pada Jun, dan minggu lalu Pyongyang menawarkan untuk mengadakan perbincangan itu pada akhir September, langkah yang disifatkan AS sebagai “menggalakkan.”

Tetapi beberapa jam kemudian, Pyongyang melakukan pelancaran terbaru siri ujian senjatanya. – AFP, 17 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen