BINTANG bola sepak Juventus, Cristiano Ronaldo mengakui beliau berasa “malu” ketika cuba melindungi keluarganya daripada dakwaan merogol seorang wanita di Amerika Syarikat.
Ronaldo didakwa merogol Kathryn Mayorga di sebuah hotel di Las Vegas pada Jun 2009.
Penyerang pasukan Portugal itu menafikan sekerasnya dakwaan berkenaan dan siasatan itu pada asalnya sudah ditutup 10 tahun lalu.
Kes berkenaan bagaiamanpun dibuka semula pada Ogos 2018 selepas Mayorga memfailkan saman sivil pada September dan menawarkan butiran yang disimpannya sebelum itu.
Pada Julai tahun ini, pihak pendakwaan mengumumkan mereka tidak akan membuat pendakwaan terhadap kes itu kerana tuduhan itu gagal “membuktikan keraguan yang munasabah”.
Bekas pemain Manchester United itu mendedahkan tuduhan itu memberi tamparan hebat kepadanya dalam usaha untuk melindungi anaknya daripada laporan dakwaan itu.
“Mereka mempermainkan maruah kamu,” kata Ronaldo pada satu temubual bersama Piers Morgan dalam rancangan ‘Good Morning Britain’.
“Ianya sukar, kamu ada teman wanita, kamu ada keluarga, kamu ada anak. Namun apabila mereka permainkan kejujuran kamu, ia sangat teruk dan sangat sukar.
“Saya ingat lagi satu hari, ketika saya di rumah menonton televisyen dengan teman wanita saya untuk melihat berita dan mereka bercakap mengenai ‘Cristiano Ronaldo lakukan ini, lakukan itu’.
“Saya dengar anak saya turun tangga dan saya ubah saluran televisyen kerana sangat malu.
“Saya ubah siaran agar Cristiano Jr tidak lihat apa yang mereka katakan perkara buruk tentang ayahnya.” – AFP, 17 September, 2019.
Komen