ISRAEL berkata pada Khamis ia tidak akan mengiktiraf kerajaan bersama Fatah-Hamas Palestin melainkan Hamas melucutkan senjata dan menghentikan gesaan untuk memusnahkan negara rejim zionis itu, lapor agensi berita China Xinhua.
“Selagi Hamas tidak melucutkan senjata dan menghentikan gesaan untuk memusnahkan Israel, Israel meletakkan tanggungjawab ke atas bahunya bagi semua aktiviti keganasan yang datang dari Gaza,” kata pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan.
“Sebarang persetujuan antara Pihak Berkuasa Palestin dan Hamas perlu mematuhi perjanjian antarabangsa dan syarat the Quartet (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah),” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada gesaan Hamas sebelum mengiktiraf negara Israel.
Israel menduduki Semenanjung Gaza dan Tebing Barat semasa perang Timur Tengah pada 1967 dan sejak itu menguasai kedua-dua wilayah meskipun dikecam masyarakat antarabangsa.
Terdahulu pada Khamis, kedua-dua pihak yang bersaing di Palestin – Fatah yang berpangkalan di Ramallah dan pergerakan Islam Hamas – bersetuju melupakan perselisihan antara mereka sejak sekian lama susulan rundingan damai yang dipelopori Mesir di Kaherah.
Mengikut perjanjian itu, kerajaan konsensus di bawah Fatah akan mempunyai kuasa penuh di Semenanjung Gaza, yang sebelum ini diperintah oleh Hamas, menjelang 1 Disember.
Perjanjian itu dianggap sebagai satu pemulihan kepada persetujuan damai yang dicapai di Kaherah pada 2011 namun tertangguh. – Bernama, 13 Oktober, 2017.
Komen