Perisik Poland dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun di Rusia


MAHKAMAH Agung Rusia menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas seorang warga Poland yang disabitkan kesalahan mengintip, kata perkhidmatan keselamatan FSB pada hari Isnin.

Mahkamah Moscow pada bulan Jun mendapati Marian Radzajewski bersalah di atas pertuduhan cuba mendapatkan maklumat ketenteraan yang menjadi “rahsia negara Rusia” dalam sebuah perbicaraan tertutup.

Perkhidmatan keselamatan FSB Rusia berkata Mahkamah Agung pada hari Khamis memutuskan hukuman itu adalah “sah dan wajar.”

FSB juga mengatakan bahawa rakyat Poland itu cuba mendapatkan “komponen rahsia sistem pertahanan udara Rusia S-300.”

Badan itu turut berkata Radzajewski ditangkap ketika cuba menyelesaikan satu transaksi.

FSB mengatakan Radzajewski bertindak “demi kepentingan organisasi Poland yang merupakan pembekal utama bagi pasukan keselamatan kebangsaan dan pasukan khas negara Poland.”

Radzajewski dilahirkan pada tahun 1977 dan merupakan pengarah sebuah syarikat pengangkutan di Bialystok, sebuah bandar di timur laut Poland.

Menurut siasatan ke atas kesnya, sebuah majalah Polandi, Polityka, melaporkan bahawa syarikat pengangkutan Radzajewski mungkin terlibat dalam membawa komponen dari Rusia dan Belarus untuk tentera Poland yang masih menggunakan beberapa peralatan buatan Soviet.

Sabitan kes ke atas perisik semakin meningkat di Rusia beberapa tahun kebelakangan ini. Kebanyakan kes mempunyai hubungan dengan Ukraine, namun kes-kes yang berkaitan Poland dan negara-negara Baltik bukan merupakan perkara biasa.

Pada bulan April, Rusia menjatuhkan hukuman ke atas pengawal sempadan Norway, Frode Berg, dengan hukuman 14 tahun penjara selepas disabitkan pertuduhan mengintip. – AFP, 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen