Pemimpin pembangkang Korea Selatan cukur kepala tanda protes


Hwang yang tiba di luar Rumah Presiden kemudian dilihat membotakkan kepalanya ketika lagu rasmi Korea Selatan berkumandang. – Gambar AFP, 16 September, 2019.

PEMIMPIN parti pembangkang Korea Selatan mencukur kepala hari ini untuk membantah pelantikan kontroversi seorang menteri undang-undang baharu yang terpalit dengan skandal rasuah.

Profesor undang-undang Cho Kuk memulakan tugasnya sebagai menteri pada hari Isnin lalu ketika pendakwaraya menjalankan siasatan ke atas anak perempuannya dan pelaburan dana ekuiti swasta yang disyaki dijalankan dengan operasi meragukan melibatkan keluarga menteri itu.

Pelantikan itu menyebabkan penggubal undang-undang pembangkang tidak berpuas hati dan membantah keras di parlimen.

Pada hari Isnin, Hwang Kyo-ahn, pemimpin pembangkang utama parti Liberty Korea, berkata beliau akan mencukur kepalanya sebagai gesaan peletakan jawatan “penjenayah Cho Kuk”.

Hwang yang tiba di luar Rumah Presiden kemudian dilihat membotakkan kepalanya ketika lagu rasmi Korea Selatan berkumandang.

“Saya di sini untuk menunaikan janji saya dengan mencukur kepalanya,” Hwang memberitahu orang ramai. “Saya tidak akan berundur.”

Hwang berkhidmat sebagai menteri undang-undang dan perdana menteri di bawah pentadbiran konservatif Park Geun-hye, yang kemudian digantikan oleh Moon selepas beliau bergelut dengan skandal rasuah besar-besaran.

Ahli-ahli politik Korea Selatan sering berjanji untuk mencukur kepala mereka di hadapan umum untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan dan isu-isu sosial.

Minggu lalu dua anggota parlimen wanita mencukur kepala mereka untuk membantah pelantikan Cho.

Pendakwaraya telah melakukan beberapa serbuan berkaitan skandal Cho, dan isterinya - yang juga seorang profesor universiti - kerana didakwa memalsukan anugerah kolej untuk anak perempuan mereka. – AFP, 16 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen