LEBIH separuh daripada 147 ekor harimau yang dirampas dari kuil kontroversi Thai dilaporkan mati, kata pihak berkuasa hari ini yang menyalahkan masalah genetik berhubung pembiakannya di pusat tarikan pelancong yang mengaut keuntungan besar itu.
Selama bertahun-tahun, kuil Wat Pha Luang Ta Bua di wilayah barat Kanchanaburi menarik pelancong yang dibenarkan mengambil gambar bersama harimau dengan sejumlah bayaran.
Bagaimanapun, pada 2016 pihak berkuasa memulakan operasi untuk merampas haiwan di kuil itu kerana didakwa terdapat salah pengurusan dan eksploitasi haiwan.
Puluhan bangkai harimau dijumpai di dalam peti sejuk, mencetuskan dakwaan bahawa bangkai haiwan itu dijual oleh pihak kuil.
Bahagian tubuh badan harimau boleh meraih keuntungan besar di pasaran China dan Vietnam, di mana tubuh haiwan itu dipercayai memiliki khasiat perubatan.
Harimau dewasa yang masih hidup dibawa ke dua stesen pembiakan di wilayah Ratchaburi tetapi hanya 61 dari 147 ekor terselamat setakat ini, kata pihak berkuasa kepada pemberita.
“Ia boleh dikaitkan dengan proses pembiakannya,” kata Pattarapol Maneeon, jurucakap Jabatan Taman Negara Thailand.
“Mereka mempunyai masalah genetik yang menimbulkan risiko kepada sistem tubuh badan dan sistem imun harimau,” jelasnya lagi. – AFP, 16 September, 2019.
Komen