Jaziri disahkan pengerusi Bersatu Sarawak


Desmond Davidson

Jaziri Alkaf Suffian diumumkan sebagai pengerusi Bersatu Sarawak yang dipilih dan disahkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2019.

DR Mahathir Mohamad mengumumkan arkitek Jaziri Alkaf Suffian sebagai pengerusi Bersatu Sarawak, sekaligus menamatkan teka-teki kedudukan pemimpin parti di negeri itu menjelang pilihan raya negeri yang perlu diadakan menjelang Mei 2021.

Jaziri, 41, adalah setiausaha interim Bersatu Sarawak merangkap ketua bahagian Bersatu Santubong.

Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Jaziri dalam majlis dialog bersama ahli Bersatu Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, pelantikan Jaziri dipilih dan disahkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuaratnya pada 29 Ogos lalu.

Jaziri mengambil alih kepimpinan parti negeri daripada Ahli MPT Redzuan Yusof yang sebelum ini diberi mandat sebagai ketua penyelaras parti negeri.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Dr Mahathir meminta Bersatu Sarawak bekerjasama dengan rakan komponen Pakatan Harapan di negeri itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 nanti.

Bersatu tidak akan mampu menang pilihan raya sendiri dan kerana itu, katanya, perlu ada disiplin yang tinggi dalam Pakatan Harapan.

“Kita tidak boleh menang sendiri. Kita mesti bersama parti-parti PH yang lain walaupun mereka mungkin parti yang kita tidak suka sebelum ini.

“Kita mesti bekerjasama. Itu sebabnya kita ada pakatan dan kenapa kita ada dalam pakatan,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, sekiranya menang pilihan raya nanti, kerajaan yang akan dibentuk bukanlah kerajaan Bersatu tetapi kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga memberi amaran kepada ahli Bersatu agar menerima keputusan yang tidak popular atau keputusan yang tidak memenuhi kehendak mereka.

Sebelum ini ada desas-desus kedudukan pengerusi parti negeri jadi isu besar dalam kalangan beberapa ketua bahagian Bersatu di Sarawak yang dikatakan tidak setuju dengan calon pilihan pimpinan parti di ibu pejabat.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu telah mendaftarkan 12 bahagian parti di Sarawak. Daripada jumlah itu, enam bahagian sudah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sementara bakinya masih dalam proses.

Enam bahagian itu ialah Santubung, Stampin, Sri Aman, Saratok, Kota Samarahan, dan Bintulu.

Jaziri adalah juga pengasas dan ketua pegawai eksekutif MyProdigy, sebuah inisiatif mempersiapkan pelajar sekolah untuk kemahiran yang boleh meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.  – 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen