TIGA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut hari ini atas pelbagai tuduhan berkaitan membunuh dan mencederakan dua rakan sekerja dalam bilik tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, bulan lepas.
Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Izhrifikri Roslee, 29; Hamzah Zakaria, 35; dan Mohd Farid Musa, 32, berpangkat Laskar Kanan dan bertugas sebagai pengawal bilik tahanan itu.
Bagi kes Mohd Izhrifikri, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di padang latihan bilik tahanan tersebut antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang, 29 September lalu.
Dia juga dituduh menyebabkan kematian Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, pada masa, tarikh, dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika dibacakan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Disember untuk sebutan semula di Mahkamah Majistret Seri Manjung sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat serta dokumen lain.
Hamzah menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap Nik Baihaqy dan Lailatuliman di laluan depan bilik tahanan tersebut pada jam 10.30 pagi, 29 September.
Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 30 Oktober ini.
Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nik Baihaqy di pejabat pengawal bilik tahanan itu pada jam 12.30 tengah malam, 28 September lalu.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 30 Oktober ini.
Hamzah dan Farid masing-masing didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Perak Yusaini Amer Abd Karim manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Peguam Zalil Mohd Mess dan Farah Helmy turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi mewakili keluarga Lailatuliman. – Bernama, 13 Oktober, 2017.
Komen