Rouhani tiada rancangan bertemu Trump di luar sidang PBB


Hassan Rouhani tidak mempunyai rancangan untuk bertemu Trump selepas kedua-dua negara dilihat terus bertegang selepas presiden AS itu mengundurkan diri daripada JCPOA. – Gambar EPA, 16 September, 2019.

IRAN tidak membuat sebarang rancangan untuk Presidennya, Hassan Rouhani bertemu dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, di luar sidang Perhimpunan Agung PBB yang akan datang, kata jurucakapnya hari ini.

“Kami tidak merancang untuk mengadakan pertemuan, dan saya tidak fikir perkara seperti itu akan berlaku di New York,” kata Menteri Luar Negeri Iran, Abbas Mousavi dalam sebuah kenyataan.

Rumah Putih berkata pada Ahad bahawa Trump masih boleh bertemu dengan Presiden Rouhani di sidang Perhimpunan Agung PBB di New York minggu depan, walaupun Washington menuduh Tehran menjadi dalang serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi.

“Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, jika Amerika kembali kepada perjanjian JCPOA dan menghentikan sekatan ekonomi mereka, mereka boleh kembali ke suruhanjaya bersama dan berunding,” kata Mousavi.

Mousavi merujuk kepada suruhanjaya Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai pada tahun 2015 di mana ia bersetuju untuk memberikan Iran pelepasan daripada sekatan ekonomi dan sebagai balasan negara republik Islam itu akan mengekang program nuklearnya.

Ketegangan antara kedua-dua negara itu semakin meruncing apabila Trump mengundur diri dari JCPOA pada Mei tahun lepas dan mula memberi tekanan dengan mengumumkan semula sekatan terhadap Iran.

Negara-negara Eropah berusaha untuk mengekalkan perjanjian nuklear tersebut di samping cuba untuk mengawal situasi daripada terus meruncing.

Presiden Perancis Emmanuel Macron menjadi pemimpin utama dalam usaha tersebut, dan mencadangkan Rouhani dan Trump berunding demi meredakan krisis. – AFP, 16 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen