Liga Arab sambut baik perjanjian damai Fatah, Hamas 


Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas ketika mempengerusikan mesyuarat di Ramallah bagi membincangkan pengambilalihan semula Jalur Gaza. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2017.

LIGA Arab (AL) pada Khamis menyambut baik perjanjian damai yang dimeterai antara Fatah dan Hamas, dua kumpulan yang sering bersaing di Palestin, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut satu kenyataan,  AL mengucapkan tahniah kepada pemimpin Palestin Mahmoud Abbas, pihak-pihak di Palestin dan penduduknya kerana berjaya mencapai kata sepakat untuk menamatkan perselisihan politik yang berlaku selama sedekad antara kedua-dua pergerakan utama itu di Palestin.

Perdamaian itu merupakan jaminan utama bagi membolehkan Palestin mencapai matlamatnya iaitu kebebasan, kemerdekaan, menamatkan pendudukan Israel dan mewujudkan sebuah negara bebas di sempadan 1967, kata kenyatan tersebut.

Terdahulu pada Khamis, kedua-dua pergerakan bersetuju dengan penyerahan menyeluruh Semenanjung Gaza yang diperintah Hamas kepada kerajaan bersama pimpinan Perdana Menteri Rami al-Hamdallah menjelang 1 Disember.

Dimeterai dua hari selepas rundingan damai dipelopori Mesir itu diadakan, perjanjian tersebut dianggap sebagai pemulihan kepada persetujuan damai yang dicapai pada 2011 di Kaherah, namun tertangguh. – Bernama, 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen