Malaysia untuk semua, daripada semua


Jahabar Sadiq

Marilah kita merayakan Hari Malaysia, di bawah langit berjerebu – yang nyata atau dalam metafora – dengan harapan, hari-hari di depan akan lebih baik dan cerah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2019.

HARI ini, kita merayakan sebuah usaha yang dimulakan lama sebelum 16 September 1963 apabila empat wilayah bergabung membentuk Malaysia – Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Dalam tempoh 56 tahun itu sehingga hari ini, Malaysia menyingkirkan Singapura serta menempuh sebuah kerajaan yang bermula dengan baik, yang menjadi sebuah pakatan yang lebih besar dan berakhir dengan memalukan lebih setahun yang lalu.

Sejak itu, rakyat Malaysia hampir dinafikan sebuah kerajaan yang dipilih oleh suara ramai. Ralat, lebih setahun kemudian, majoriti rakyat masih tidak mendapat sebuah kerajaan yang mereka pilih.

Yang ada adalah sekumpulan ahli politik lama dan baharu yang mengetepikan permusuhan politik dan peribadi demi melawan Barisan Nasional, sebuah kerajaan yang jumud, kleptokrat, dan kakistokrasi – dan menang.

Kalau anda berkesempatan menonton dokumentari “M for Malaysia” yang sedang ditayangkan di beberapa pawagam di serata negara, anda akan melihat bagaimana mereka yang terdesak menabur janji kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Apa kaitannya dengan Hari Malaysia? Segala-galanya.

Malaysia ialah sebuah idea yang mahu menyatukan rakyat di dua sisi Laut China Selatan dalam sebuah persekutuan, untuk semua rakyat ditadbir oleh sebuah kerajaan rakyat yang dipilih oleh rakyat. Lama kelamaan, ia menjadi sebuah negara untuk sebahagian rakyat Malaysia, yang dipilih oleh sesetengah rakyat.

Ia menjadi sebuah sistem yang elit. Tentang personaliti dan bukan lagi kebolehan. Tentang kepentingan peribadi dan bukan lagi untuk semua. Tentang kaum dan bukan lagi sebuah bangsa yang lebih daripada seluruh kaum yang ada di Malaysia.

Rakyat Malaysia tidak menyingkirkan itu pada 9 Mei 2018. Mereka mengetepikan sejumlah pemimpin yang menganggap mereka boleh mengugut dan membayar untuk dapat mandat sepenggal lagi. Sebagai gantinya sekarang ialah barisan ahli politik dengan cita-cita yang sama, yang biasa menjadi pengkritik dan bukannya pentadbir, yang boleh melaksanakan pelan dan dasar jadi nyata.

Mungkin Pakatan Harapan memerlukan sedikit masa untuk melakukannya. Sudah tentu ia memerlukan lebih daripada hanya Dr Mahathir Mohamad untuk menjayakannya segera. Masa tidak memihak padanya tetapi lebih pada kita.

Malaysia adalah satu perjalanan panjang mengubah pelbagai kaum jadi sebuah keluarga besar rakyat Malaysia. Kita harus menghormati, bukannya bertolak ansur, antara satu sama lain. Setiap orang perlukan ruang dan masa untuk matang dan menerima satu sama lain sebagai rakyat Malaysia tanpa tanggapan stereotaip yang selama ini diajar kepada kita.

Rakyat Malaysia mesti sedar bahawa mereka tidak boleh menyerahkan negara ini kepada kerajaan dan membiarkannya mentadbir mengikut kehendak individu atau masyarakat seperti sebelum ini. Mereka harus menyumbang dan beralah berasaskan pada kedaulatan undang-undang dan kesaksamaan untuk semua.

Sesetengah kita mungkin menyampah dengan mereka yang tidak boleh mentadbir dengan baik atau tidak boleh langsung mentadbir. Sesetengah kita mungkin merasakan bahawa kerajaan ini jadi kerajaan sepenggal kerana mereka masih kelam kabut walaupun selepas 16 berkuasa.

Namun mereka ada mandat untuk lima tahun. Biarlah mereka cuba mengotakan janji dan memastikan mereka melakukannya dengan jujur. Kita nilai mereka apabila peti undi dibuka semula nanti.

Ini kerana Malaysia adalah lebih daripada hanya kepentingan kita sendiri atau kepentingan kerajaan. Ia adalah kepentingan kita semua.

Memuaskan hati semua bermakna kita berkompromi dan saling memahami kerana kita mempunyai idea yang tidak sama tentang Malaysia.

Oleh itu, marilah kita merayakan Hari Malaysia, di bawah langit berjerebu – yang nyata atau dalam metafora – dengan harapan, hari-hari di depan akan lebih baik dan cerah. – 16 September, 2019.

*Jahabar Sadiq adalah ketua pengarang The Malaysian Insight. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen