Weinstein disiasat polis New York, London berhubung tuduhan rogol 


POLIS New York dan Britain menjalankan siasatan terhadap Harvey Weinstein setelah pelakon Amerika, Rose McGowan menuduh beliau telah dirogol, menjadikannya orang keempat yang menuduh produser filem terkenal itu merogolnya.

Dakwaan berhubung gangguan seksual, serangan seksual dan rogol terhadap Weinstein tercetus selepas New York Times melaporkan dakwaan berhubung salah laku itu pada minggu lalu.

Jurucakap polis New York mengesahkan kepada AFP mereka sedang menyiasat satu tuduhan terhadap Winstein pada 2004, tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut.

New York Daily News melaporkan ker terbabit melibatkan pelakon Lucia Evans, yang sebelum itu memberitahu majalah New Yorker bahawa Weinstein memaksanya melakukan seks oral.

Dalam pada itu, Scotland Yard mengeluarkan kenyataan bahawa Polis Metropolitan sedang menyiasat tuduhan serangan seksual oleh Polis Merseyside. Ia bagaimanapun tidak mengulas lanjut. 

The Daily Telegraph melaporkan kes tersebut melibatkan seorang aktres yang difahamkan kini menetap di kawasan Liverpool.

Rabu lalu, Weinstein dilihat di khalayak ramai buat pertama kali apabila paparazi melihatnya meninggalkan rumah anak perempuannya di Los Angeles.

“Keadaan saya tidak baik sekarang tetapi saya sedang cuba,” katanya dalam video yang diperoleh dari ABC. 

“Saya perlu dapatkan bantuan. Kita semua melakukan kesalahan.”

Weinstein juga berharap agar dia diberikan peluang kedua. 

TMZ melaporkan Weinstein kemudiannya terbang ke sebuah pusat pemulihan di Arizona, berkemungkinan The Meadows, di barat laut Phoenix di mana Tiger Woods dan Kate Moss mendapatkan rawatan.

Tuduhan serangan dan gangguan seksual terhadap Weinstein turut membabitkan nama besar di Hollywood iaitu Angelina Jolie, Gwyneth Paltrow, Mira Sorvino, Kate Beckinsale dan Ashley Judd. – AFP, 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen