Taufan Faxai, 80,000 rumah masih tidak ada bekalan elektrik


Hampir 80,000 rumah masih belum mempunyai bekalan elektrik selepas taufan kuat melanda timur Jepun. – Gambar EPA, 16 September, 2019.

HAMPIR 80,000 rumah masih belum mempunyai bekalan elektrik selepas taufan kuat melanda timur Jepun, kata pihak berkuasa hari ini.

Taufan Faxai melanda Tokyo awal Isnin minggu lepas apabila angin kuat menyebabkan persediaan Piala Dunia Rugbi terganggu dan mendorong kerajaan memerintahkan puluhan ribu orang meninggalkan rumah mereka.

Ribut itu telah menyebabkan dua penduduk terbunuh dengan sekurang-kurangnya tiga warga emas kemudian disahkan meninggal dunia akibat angin panas kerana suhu melampau melebihi 35 darjah celsius di kawasan terjejas oleh pasca-taufan.

Jurucakap Toyo Elektrik Co. (TEPCO) Naoya Kondo memberitahu AFP bahawa kira-kira 78,700 isi rumah masih tidak menerima bekalan elektrik di Chiba, tenggara ibukota Jepun.

“Pemulihan sepenuhnya mungkin tidak dapat dibuat sehingga 27 September kerana kami berdepan kesulitan di kawasan gunung,” katanya.

Sekitar 16,700 isi rumah juga berdepan masalah ketiadaan air apabila beberapa loji penulenan air tidak mempunyai bekalan kuasa, kata seorang pegawai tempatan.

Dengan bantuan tentera, para pegawai menghantar trak tangki air ke kawasan terjejas.

Agensi cuaca kebangsaan hari ini mengeluarkan amaran baharu untuk hujan lebat di Chiba sementara pihak berkuasa tempatan mengeluarkan perintah pemindahan tidak wajib kepada 46,300 penduduk berikutan risiko tanah runtuh.

“Kelewatan kerja pemulihan dijangka disebabkan oleh hujan lebat,” kata Kenta Hirano, seorang pegawai pengurusan bencana di Futtsu di Chiba di mana lebih 1,000 rumah rosak akibat taufan.

Media tempatan menunjukkan penduduk di Chiba tergesa-gesa menutup bumbung yang rosak dengan kain kanvas biru.

“Kami berdepan kerugian kerana kami tak dapat lagi tinggal di sana,” kata seorang lelaki berusia 66 tahun memberitahu penyiar awam NHK selepas taufan itu meranapkan bumbung rumahnya. – AFP, 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen