Saya disiasat kerana perjuang perpaduan, kata Charles Santiago


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 16 September, 2019.

AHLI Parlimen Klang Charles Santiago kesal kerana disiasat polis sewaktu sambutan Hari Malaysia atas kenyataan yang menurutnya dibuat demi perpaduan negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas siasatan polis Bukit Aman selama tiga jam ke atasnya hari ini mengenai kenyataannya berhubung penceramah kontroversi Zakir Naik.

“Saya disiasat kerana saya perjuangkan perpaduan di Malaysia. Perpaduan negara dibina atas darah, air mata, peluh dan kompromi semua rakyat.

“Dan hari ini, kita benarkan seorag penceramah asing datang ke Malaysia untuk pecah-belahkan perpaduan negara yang terbina sejak lebih 60 tahun lalu.

“Pada sambutan Hari Malaysia, seorang ahli Parlimen dipanggil untuk disoal siasat,” katanya, kepada pemberita.

Siasatan itu berhubung kenyataannya pada 13 Ogos lalu agar Kabinet mengutamakan kepentingan awam dan keselamatan negara dalam menyiasat campur tangan Zakir dalam politik Malaysia.

Dalam kenyataannya, Santiago turut menuduh perlindungan ke atas Zakir oleh perdana menteri membolehkan parti pembangkang mengambil kesempatan untuk menggugat keharmonian kaum.

Ketika bercakap kepada pemberita hari ini, Santiago tetap mempertahankan kenyataan agar tindakan dikenakan ke atas Zakir yang mempunyai banyak pengaruh.

“Beliau seorang pendakwah Islam dan sudah pasti mempunyai pengaruh, dengan kenyataan yang dikeluarkannya sudah pasti orang boleh salah faham.

“Kita mesti meraikan kepelbagaian kita untuk memastikan kita semua ada tempat di Malaysia, itu kekuatan kita,” kata Santiago lagi.

Polis menyiasatnya Seksyen 500 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan ekoran aduan yang dibuat Zakir Naik terhadap dirinya dan empat individu lain.

Mereka termasuk Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, bekas duta besar Dennis J Ignatius, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, dan Adun Bagan Dalam M Satees.

Selain itu, Santiago berkata, siasatan turut dibuat terhadapnya kerana terdapat lebih 300 aduan daripada individu dari seluruh negara terhadapnya berkait isu berkenaan.

Selain membuat laporan polis, Zakir turut meminta permohonan maaf daripada Santiago dan ganti rugi atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Peguam Santiago, John Fam berkata, anak guamnya sudah menerima tuntutan itu dan sudahpun menjawab untuk tidak akan memenuhi kehendak Zakir dalam notis berkenaan.

“Surat dihantar sebulan lalu dan kami sudah jawab, tiada unsur fitnah dalam kandungan kenyataan berkenaan.

“Kalau mereka mahu teruskan kami bersdia, tetapi sehingga hari ini kami masih belum menerima writ saman  daripada mereka (Zakir),” kata John. – 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen