SEORANG wanita yang merupakan peminat bola sepak Iran yang membakar dirinya sehingga maut selepas ditahan kerana cuba memasuki stadium telah “mengakui kesilapannya” ketika soal siasat, kata badan kehakiman.
Sahar Khodayari, digelar “gadis biru” sempena warna pasukan bola sepak disokongnya, Esteghlal FC, dilaporkan ditahan ketika cuba memasuki stadium dengan berpakaian lelaki tahun lepas. Beliau meninggal dunia kerana kecederaan selepas membakar dirinya di luar mahkamah Tehran dua minggu lepas.
Kematiannya mencetuskan kemarahan dalam talian, dengan selebriti dan aktivis menggunakan tanda pagar #blue_girl untuk mendesak badan pengawal bola sepak dunia, Fifa, mengharamkan Iran daripada bertanding dan peminat memboikot perlawanan.
Wanita dilarang daripada masuk ke dalam stadium bola sepak dan lain-lain di republik Islam itu sejak 1981, walaupun wujud desakan antarabangsa mendesak larangan itu dibatalkan.
Naib Presiden untuk Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Iran Masoumeh Ebtekar pada Selasa meminta badan kehakiman menyiasat kematian Khodayari.
Badan kehakiman, tanpa menamakan sesiapa, berkata seorang gadis muda ditahan ketika cuba memasuki stadium, dan berdepan pertuduhan “menganggu ketenteraman awam dan menghina” pegawai penguatkuasa undang-undang.
Pada Sabtu, jurucakap badan kehakiman Gholamhossein Esmaili berkata Khodayari “jelas mengaku kesalahannya ketika soal siasat, menerimanya dan meluahkan kekesalan”. Beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Esmaili, dipetik berkata oleh laman web Mizan Online berkata, tiada hukuman dijatuhkan kepadanya kerana perbicaraan belum bermula.
Jurucakap juga menafikan laporan yang Khodayari diberitahu beliau akan dipenjarakan enam bulan sebagai “berita palsu dan khabar angin”.
Esmaili berkata laporan sebegitu “menganggu pandangan awam” dan memberikan bahan kepada “orang asing dan musuh” Iran.
Walaupun wujud desakan boikot kerana kematiannya, ayah Khodayari memberitahu agensi berita Mehr yang beliau tidak “mengorbankan” dirinya untuk apa-apa perjuangan.
Iran menerima tekanan Fifa untuk membenarkan wanita hadir pusingan kelayakan Piala Dunia 2020, dan dilaporkan diberikan tarikh akhir 31 Ogos ini untuk mematuhinya.
Kementerian Sukan berkata peminat wanita dibenarkan hadir apabila Pasukan Melli- pasukan negara itu- bermain untuk pusingan kelayakan di negara itu pada 10 Oktober.
Ulama negara itu mendakwa larangan wanita ke majlis sukan adalah untuk melindungi mereka daripada “persekitaran jantan” dan pandangan lelaki. – AFP, 16 September, 2019.
Komen