VOLKSWAGEN setuju membayar AUS$127 juta untuk menyelesaikan saman yang difailkan pemilik kenderaan jenama itu di Australia atas skandal penipuan pelepasan diesel, kata peguam.
Syarikat German yang mengeluarkan jenama dari Audi hingga ke Skoda itu pada 2015 berkata sebanyak 11 juta enjin diesel di seluruh dunia terjejas.
Kira-kira 100,000 pemilik kereta di Australia akan mendapat pampasan dari Volkswagen mengikut syarat-syarat asas perjanjian iaitu syarikat membayar pampasan tanpa mengakui liabiliti dan perlulah mendapat kelulusan dari mahkamah persekutuan.
“Ini penting untuk keadilan dan pampasan kepada ribuan pemilik kenderaan di Australia yang mendakwa menerima kesan dari segi kewangan akibat isu pelepasan diesel ini,” kata Julian Schimmel dari firma guaman Maurice Blackburn.
Pada 2015, lebih 97,000 kereta Volkswagen di Australia didedahkan dilengkapi dengan teknologi yang direka untuk menipu ujian pelepasan.
Dalam satu kenyataan, Volkswagen berkata setiap pemilik kenderaan dijangka menerima bayaran sebanyak AUS$1,400.
Volkswagen juga disaman oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia yang mendakwa syarikat itu melanggar beberapa undang-undang dan boleh dikenakakan denda besar jika kes berjaya di mahkamah.
Volkswagen sebelum ini membayar pampasan bernilai berbilion dolar kepada pemilik kenderaan di Amerika Syarikat dan Kanada berkenaan skandal sama, yang juga digelar skandal “dieselgate”. – AFP, 16 September, 2019.
Komen