Harga minyak kekal buat masa ini, kata Guan Eng


Kalidevi Mogan Kumarappa

Harga minyak mencecahkan paras tertinggi dalam masa empat bulan selepas dua serangan ke atas loji memproses minyak milik Aramco di Arab Saudi. – Gambar EPA, 16 September, 2019.

KERAJAAN mengekalkan harga minyak buat masa ini biarpun harga minyak dunia meningkat susulan krisis di Teluk, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Harga minyak mencecahkan paras tertinggi dalam masa empat bulan selepas dua serangan ke atas loji memproses minyak milik Aramco di Arab Saudi.

Serangan pada awal Sabtu itu memusnahkan hampir 6 juta tong minyak sehari atau separuh pengeluaran minyak Arab Saudi, yang bersamaan lebih 5% bekalan minyak dunia, lapor media.

“Tetapi, kita akan kekalkan harga minyak buat masa ini,” kata Lim kepada wartawan di Petaling Jaya, hari ini.

Harga minyak mentah naik antara 15% hingga 19% ketika dagangan dibuka hari ini sebelum kembali stabil selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membenarkan Amerika Syarikat mengeluarkan simpanannya.

Harga dijangka kembali kepada paras lebih rendah beberapa minggu akan datang apabila loji berkenaan kembali beroperasi.

Dua loji Aramco di sebelah timur Arab Saudi musnah dalam serangan menggunakan dron, yang Washington dakwa didalangi oleh Iran.

Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo menuduh Iran dalang melalui satu komen di Twitter. Beliau juga mendakwa tiada bukti serangan dilakukan oleh anasir di Yaman.

Iran bagaimanapun menyelar dakwaan Amerika itu sebagai pembohongan. – 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen