Pekerja General Motors di AS lancar mogok 


Seramai 46,000 pekerja mengancam akan mogok mulai tengah malam, kata kesatuan pekerja United Auto Workers (UAW). – Gambar AFP, 16 September, 2019.

KESATUAN pekerja United Auto Workers (UAW) pada Ahad akan melancarkan mogok terhadap General Motors (GM) ekoran rundingan mengenai kontrak menemui jalan buntu.

Seramai 46,000 ahlinya akan menyertai mogok mulai tengah malam.

Wall Street Journal menyifatkan ia sebagai mogok terbesar di GM dalam tempoh lebih daripada sedekad, sehari selepas kontrak sempat tahun syarikat itu dengan pekerjanya tamat tanpa sebarang persetujuan pembaharuan.

“Pemimpin-pemimpin kesatuan mengadakan pertemua di Detroit dan memilih untuk mogok pada tengah malam Ahad,” kata UAW di Twitter.

“Ini pilihan terakhir kami.

“Kami bersatu demi hak asasi pekerja di negara ini,” kata wakil pemimpin-pemimpin UAW, Terry Dittes pada sidang media selepas mesyuarat.

UAW berkata kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat mengenai rundingan kontrak berkaitan gaji, faedah penjagaan kesihatan, status pekerja sementara dan keselamatan pekerja,

“Ahli-ahli kami sudah bersuara, kita telah ambil tindakan, dan kita tidak memandang ringan keputusan ini,” kata Terry Krumm, pengerusi jawatankuasa UAW dalam satu kenyataan.

“Kami berpendirian teguh kepada perkara yang betul.”

Beberapa jam semelum mogok bermula, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerusi Twitter berkata: “General Motors dan United Auto Workers mula lagi. Bincang dan buat perjanjian!”.

Menurut laporan WSJ, kali terakhir mogok diadakan pada 2007 di mana 73,000 pekerja di lebih 89 kilang mogok selama dua hari. – AFP, 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen