BEKAS menteri kesihatan DR Congo Oly Ilunga yang kini ditahan polis dituduh menggelapkan dana awam untuk menangani wabak Ebola sebanyak AS$4.3 juta, kata peguam belanya semalam.
Beliau ditahan di Kinshasa pada Sabtu.
“Polis menuduhnya menyeleweng sejumlah AS$4.3 juta yang diperuntukkan untuk melawan wabak Ebola,” kata peguam Guy Kabeya dan Willy Ngashi dalam satu kenyataan.
Ilunga meletak jawatan sebagai menteri kesihatan pada Julai selepas disingkirkan sebagai ketua pasukan respons Ebola.
Polis mendakwa Ilunga merancang untuk melarikan diri dan mengelak dari dibicarakan tetapi ia dinafikan olehnya, kata peguam bekas menteri itu.
Kes Ilunga dijangka dibawa ke pejabat pendakwa raya hari ini.
Jurucakap polis, Kolonel Pierrot-Rombaut Mwanamputu berkata bekas menteri kesihatan itu disoal siasat pada Ogos sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas pengurusan dana bagi melawan wabak Ebola yang meragut lebih 2,000 nyawa sejak Ogos 2018.
Ilunga, 58, meletak jawatan selepas mengkritik pelan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mahu memperkenalkan vaksin baharu yang tidak berlesen untuk melawan Ebola.
Presiden Felix Tshisekedi juga menyerahkan tugasnya sebagai ketua pasukan melawan wabak itu kepada Pengarah Institut Penyelidikan Biomedikal Kebangsaan DR Congo, Jean-Jacques Muyembe.
Wabak Ebola adalah wabak kedua terburuk dalam sejarah yang telah meragut 11,000 nyawa di Guinea, Sierra Leone dan Liberia antara 2014 dan 2016. – AFP, 16 September, 2019.
Komen